Sarawak beralih ke Fasa 2 PPN
Keputusan berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator

KUALA LUMPUR, 2 Zulhijjah 1442H, Isnin – Sarawak merupakan negeri terbaharu yang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti nilai-nilai ambang negeri tersebut.
“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membuat peralihan fasa bagi negeri Sarawak daripada Fasa 1 ke Fasa 2 berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi PPN hari ini.
Sementara itu, beliau mengumumkan kerajaan memberi kebenaran kepada outlet pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi yang terletak di dalam pusat membeli-belah serta pasar raya besar untuk beroperasi sepanjang PPN berkuat kuasa esok.