Berita UtamaDunia

Thailand bakal gabung vaksin AstraZeneca-Sinovac

618 petugas kesihatan sudah terima vaksin Sinovac masih dijangkiti COVID-19

BANGKOK, 2 Zulhijjah 1442H, Isnin – Thailand bakal mengubah strategi imunisasi besar-besarannya merangkumi pemberian suntikan dos kedua vaksin AstraZeneca selepas menerima dos pertama vaksin Sinovac, kata menteri kesihatan.

Keputusan itu diambil setelah ratusan pekerja perubatan dijangkiti COVID-19 walaupun diberi vaksin sepenuhnya dengan Sinovac.

Daripada dua suntikan Sinovac pada asalnya, orang ramai kini akan menerima vaksin AstraZeneca selepas menerima suntikan pertama Sinovac. 

Pekerja kesihatan yang sudah diberi vaksin sepenuhnya dengan Sinovac juga akan menerima dos vaksin tambahan atau booster (penggalak) ketiga.

Dos tambahan itu antara vaksin AstraZeneca, atau vaksin mRNA seperti Pfizer/BioNTech.  

Dos ketiga ini akan diberikan tiga hingga empat minggu setelah suntikan Sinovac kedua mereka, kata Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Nasional negara itu pada Isnin.

AstraZeneca kini adalah satu-satunya vaksin selain Sinovac yang ada di negara itu, dengan suntikan Pfizer/BioNTech yang disumbangkan oleh Amerika Syarikat (AS) akan tiba dalam masa terdekat.

Thailand pertama kali menerima vaksin Sinovac dari China dan mula memberikan suntikan kepada pekerja kesihatannya pada bulan Februari.

Pada hari Ahad, Kementerian Kesihatan mengatakan lebih 677,000 kakitangan perubatan yang diberi vaksin sepenuhnya dengan Sinovac, 618 dijangkiti antara April dan Julai.  

Seorang jururawat telah meninggal dunia dan seorang kakitangan perubatan masih dalam keadaan kritikal.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine, Sinovac mempunyai kadar keberkesanan 65.9 peratus terhadap COVID-19, 87.5 peratus mencegah kemasukan ke hospital dan 86.3 peratus berkesan untuk mencegah kematian.

Thailand ketika ini berada di tengah-tengah peningkatan jangkitan baru, melaporkan rekod tertinggi 9,418 pada hari Ahad. Angka kematian untuk hari sebelumnya pula berjumlah 91 orang.

Hospital Phyathai menawarkan 1,800 slot vaksinasi untuk satu suntikan Moderna dengan harga 1,650 baht Thailand (RM211.69) melalui Shopee.

Secara keseluruhan, Thailand telah mencatat lebih dari 330,00 kes COVID-19 dan 2,711 kematian sejak awal wabak menular pada tahun 2020.

Terdapat kebimbangan bahawa peningkatan kes di banyak negara Asia Tenggara disebabkan oleh penyebaran varian Delta yang menular, pertama kali ditemui di India. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button