Dunia

Israel beku AS$180 juta pindahan cukai Palestin

Konon mahu imbangi wang disalurkan PA kepada keluarga tahanan

TEL AVIV, 3 Zulhijjah 1442H, Selasa – Negara haram Israel membekukan pemindahan cukai berjumlah AS$180 juta kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA), kononnya untuk mengimbangi wang yang disalurkan kepada keluarga tahanan dan mereka yang syahid. 

Menurut agensi berita Wafa, keputusan untuk membekukan dana itu dibuat setelah laporan Kementerian Pertahanan Israel mendakwa PA memindahkan AS$180 juta sebagai sokongan tidak langsung terhadap keganasan pada tahun 2020. 

Pejabat Perdana Menteri Israel mendakwa, dana itu akan dibekukan setiap bulan daripada pembayaran yang Israel pindahkan ke PA. 

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mengecam keputusan terbaharu Israel itu, dan menyifatkannya sebagai tindakan haram yang melanggar perjanjian dan undang-undang antarabangsa. 

Beliau memberi jaminan akan mengambil sebarang langkah sewajarnya untuk menangani keputusan rejim itu. 

“Isu ini akan menyebabkan kita berada dalam keadaan kewangan yang sukar, terutama sekali tidak ada bantuan penderma yang dikeluarkan tahun ini. 

“Untuk memenuhi kewajiban kewangan kita terhadap Semenanjung Gaza, Baitulmaqdis dan Area C, kami akan diwajibkan mengambil pinjaman bank di mana ia adalah satu keadaan yang tidak normal,” katanya. 

Shtayyeh juga meminta masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dan menghentikan pemotongan cukai tidak adil itu, ekoran hampir AS$260 juta telah dibekukan Israel sejak tahun 2019. 

Rakyat Palestin menganggap dana kepada mereka yang syahid sebagai bantuan anti kemiskinan yang diperlukan untuk keluarga dipenjara atau dibunuh rejim pengganas Israel setiap tahun. 

Negara penjajah telah meningkatkan tindakan kerasnya terhadap bank-bank Palestin dengan memantau pengiriman wang kepada keluarga tahanan Palestin. 

Ini bukan tindakan kali pertama Kabinet keselamatan Israel membekukan dana cukai yang dikutip untuk menghukum PA kerana memberikan bantuan kepada keluarga tahanan dan syuhada Palestin.

Tahun lalu, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz menandatangani empat perintah untuk merampas pemindahan wang kepada keluarga Palestin yang menjalani hukuman di penjara rejim. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button