Berita Utama

Kes Ahmad Maslan gagal isytihar RM2 juta kepada LHDN dibicara di Mahkamah Tinggi

Pihak pendakwaan akan kemuka 10 atau 11 saksi beri keterangan

KUALA LUMPUR, 3 Zulhijjah 1442H, Selasa – Kes Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang didakwa atas dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ahmad untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Hamidi Mohd Noh, ketika dihubungi pemberita melalui aplikasi WhatsApp berkata, mahkamah memutuskan demikian atas alasan antaranya terdapat persoalan undang-undang serius yang timbul terutama dalam pertuduhan dihadapi anak guamnya di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Selain itu, terdapat dua kes lain yang serupa antaranya kes Tan Sri Shahrir Ab Samad (bekas Pengerusi Felda) yang juga dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” katanya sambil memaklumkan permohonan untuk memindahkan kes itu telah difailkan pada 28 Jun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar ketika dihubungi pula berkata, pihaknya tidak membantah permohonan itu.

“Pihak pendakwaan akan mengemukakan 10 atau 11 saksi untuk memberi keterangan semasa perbicaraan itu nanti,” katanya.

Sebelum ini, perbicaraan kes itu ditetapkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussain bermula 5 Julai lepas.

Pada 21 Januari 2020, Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau didakwa menerima wang itu, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 dan cek tersebut telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 30 April 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal mengenai isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di sini antara 2.45 dan 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button