Berita Utama

KPT kaji keberkesanan PdP dalam talian bantu pelajar IPT

Pandang serius kesukaran sepanjang tempoh pandemik

BANGI, 3 Zulhijjah 1442H, Selasa – Satu kajian terhadap keberkesanan Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) dalam talian dan penambahbaikan sedang dilaksanakan untuk membantu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat dan memandang serius terhadap kesukaran pelajar serta tenaga pengajar dalam melaksanakan PdP secara dalam talian sepanjang tempoh pandemik ini.

Oleh itu, KPT menyarankan pihak IPT supaya dapat menjadikan nota yang dikeluarkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 8 Februari 2021 sebagai panduan pengendalian program pendidikan tinggi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berdasarkan Nota Panduan (Advisory Note) yang telah dikeluarkan, Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) diberikan fleksibiliti untuk mengendalikan aktiviti PdP secara dalam talian dan PPT perlu menyediakan pelan tindakan mengikut kesesuaian keperluan pengajaran dengan mengambil kira keadaan semasa.

“Pelbagai kaedah pembelajaran dalam talian telah diperkenalkan dan boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian kursus-kursus yang ditawarkan,” katanya.

Kementerian itu berkata, bagi kursus atau komponen pembelajaran yang memerlukan pelaksanaan secara bersemuka dan tidak dapat diganti melalui kaedah pembelajaran dalam talian, boleh dianjakkan ke minggu pembelajaran atau semester akan datang setelah PPT merangka kaedah yang bersesuaian.

Katanya, pihak PPT juga boleh mengadakan inisiatif untuk melaksanakan program berdasarkan jadual anjal termasuk melanjutkan aktiviti-aktiviti pentafsiran dan penilaian secara berterusan.

“Bagi pelajar yang menghadapi sebarang masalah, pihak IPT telah menyediakan pelbagai kemudahan perkhidmatan kaunseling kepada mahasiswa yang melibatkan 150 orang kaunselor dan pakar psikologi.

“Perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikologi disediakan menerusi talian hotline dan secara atas talian mengambil kira faktor kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa,” katanya.

KPT berkata, IPT juga menyediakan program-program berkaitan kesihatan mental dan perkhidmatan kaunseling seperti Tele-Kaunseling; Program Pengurusan Stress dan Emosi semasa PKP; Pengurusan Kesihatan Mental dan sebagainya.

“Pelajar juga boleh menghubungi Bilik Gerakan KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-88706777/6949/6623/6628 bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan kaunseling yang disediakan oleh IPT.

“Selain itu, KPT dengan kerjasama Majlis Kaunseling dan Kerja Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) turut dalam proses membangun satu modul Kesihatan Mental Pelajar IPT bagi menangani tekanan, kemurungan dan kebimbangan.

“KPT berharap dengan adanya modul ini nanti, ianya boleh digunakan sebagai garis panduan kepada pegawai di IPT bagi menangani kes kesihatan mental di universiti yang melibatkan mahasiswa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button