Dunia

Petugas kesihatan tak dibayar gaji jika gagal vaksin selepas 15 September

Sekatan pergerakan tertumpu pada mereka yang belum divaksinasi

PARIS, 3 Zulhijjah 1442H, Selasa – Semua petugas kesihatan di Perancis wajib mendapatkan vaksin COVID-19, selain meletakkan syarat sama terhadap individu yang ingin memasuki pawagam atau menggunakan perkhidmatan kereta api. 

Presiden Emmanuel Macron berkata, setiap individu yang ingin memasuki pawagan atau menggunakan perkhidmatan kereta api perlu menunjukkan bukti vaksinasi atau keputusan ujian saringan. 

Bagaimanapun, vaksinasi tidak akan diwajibkan kepada masyarakat umum buat masa ini, namun sekatan pergerakan akan tertumpu ke atas mereka yang belum divaksinasi. 

“Kita mesti menuju vaksinasi semua rakyat Perancis, itu adalah satu-satunya cara kembali ke kehidupan normal,” katanya berucap di televisyen tempatan, semalam. 

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Olivier Veran berkata, pekerja kesihatan tidak akan dibenarkan bekerja dan tidak dibayar gaji jika mereka gagal mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 menjelang 15 September. 

“Menjelang 15 September, semua pekerja kesihatan mesti sudah lengkap menerima dos kedua,” katanya. 

Vaksin mandatori untuk pekerja penjagaan kesihatan dan profesional lain yang bersentuhan dengan golongan rentan, tidak meluas di Eropah kerana Macron menolak langkah itu di Perancis sebelum ini. 

Namun, kelewatan kadar vaksinasi dan peningkatan kes jangkitan baharu yang mendadak ekoran varian Delta, telah memaksa kerajaan mempertimbangkan semula langkah itu selewat-lewatnya menjelang September. 

Difahamkan, pengambilan vaksin juga diwajibkan bagi individu yang bekerja di rumah persaraan. 

Macron berkata, kad kesihatan yang diperlukan untuk menghadiri acara berskala besar dan kelab malam akan diperluaskan, dengan turut membabitkan restoran, pawagan dan teater. 

Ia juga diperlukan untuk menaiki kereta api dan pesawat bermula awal Ogos, sebagai inisiatif menggalakkan lebih ramai mendapatkan suntikan vaksin. 

“Kerajaan akan menguatkuasakan sekatan bagi mereka yang tidak diberi vaksin. Dan ujian saringan COVID-19 hanya diberikan percuma bagi mereka yang ada surat kesihatan bermula Oktober,” katanya. 

Surat kesihatan adalah bukti seseorang itu telah divaksinasi atau menjalani ujian PCR negatif untuk COVID-19 dalam tempoh terdekat.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button