Berita Utama

Selangor ada 27 lokasi CAC, jangan tumpu di Stadium Malawati

Boleh ke CAC terdekat elak kesesakan: Dr Noor Hisham

BANGI, 3 Zulhijjah 1442H, Selasa – Selangor mempunyai 27 lokasi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang beroperasi setiap hari, termasuk cuti umum.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak hanya tertumpu kepada CAC di Stadium Malawati, Shah Alam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Sila ke CAC di kawasan masing-masing untuk elakkan kesesakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menerusi hantaran itu, Dr Noor Hisham menyenaraikan lebih 20 lokasi CAC yang beroperasi di seluruh negeri Selangor.

Ini termasuk 10 lokasi CAC di daerah Gombak membabitkan Klinik Kesihatan (KK) Kuang, KK Batu 8, KK AU2, KK Hulu Kelang, KK Taman Ehsan, KK Batu Arang, KK Sungai Buloh, KK Selayang Baru, KK Rawang dan KK Setia Gombak.

Bagi daerah Petaling hanya satu lokasi CAC iaitu Stadium Malawati; Dewan Sukan Klang untuk daerah Klang; Klinik Desa Ulu Yam Lama untuk daerah Hulu Selangor; Dewan Aim Point, Bandar Sungai Emas untuk daerah Kuala Langat dan KK Bestari Jaya untuk daerah Kuala Selangor.

Bagi daerah Sepang, terdapat dua lokasi CAC iaitu Stadium Min Bandar Baru Salak Tinggi dan Dewan Orang Ramai Dengkil.

Sementara di daerah Sabak Bernam, terdapat lapan lokasi CAC membabitkan KK Sg Besar; KK Sg Lima; KK Sabak Bernam; KK Parit Baru; KK Sg Air Tawar; KK Bagan Terap dan KK Merbau Berdarah.

Untuk daerah Hulu Langat, dua lokasi CAC ditempatkan iaitu Dewan Komuniti Taman Kajang Utama dan Dewan Komuniti Bandar Mahkota Cheras.

Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video memaparkan ratusan individu beratur dan bersesak sementara menunggu untuk dinilai di CAC Stadium Malawati, Shah Alam.

Manakala, satu video yang dikongsi penduduk di Taman Sri Andalas memaparkan kawasan taman perumahan itu sesak dengan kenderaan pesakit yang ingin ke CAC berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button