Berita Utama

Guan Eng arah hubungi wakil syarikat pembinaan bincang projek terowong: Bekas Exco

Dapat nombor telefon 2 individu dari Guan Eng pada 26 Januari 2011

KUALA LUMPUR, 4 Zulhijjah 1442H, Rabu – Seorang bekas Exco Pulau Pinang hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng mengarahkannya untuk menghubungi dua wakil syarikat pembinaan bagi membincangkan mengenai projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu.

Datuk Lim Hock Seng, 72, berkata beliau mendapatkan nombor telefon dua individu berkenaan iaitu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan Datuk Lee Chee Hoe daripada Lim sendiri selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Pejabat Ketua Menteri di Komtar, Georgetown, pada 26 Jan 2011.

“Lim memaklumkan sebuah syarikat swasta iaitu Beijing Urban Construction Group (BUCG) sedang menerokai cadangan untuk membina sebuah terowong di Pulau Pinang dan bercadang untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri. Selepas mendapat nombor telefon mereka, saya menghubungi dan berjumpa mereka bagi membincangkan mengenai projek berkenaan,” katanya.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada hari kedua perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.

Hock Seng berkata selepas mendapat arahan daripada mesyuarat MMK pada 26 Jan 2011, beliau telah meminta jurutera Rajendran Anthony daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk menyediakan satu kertas kerja “Perancangan Link Ketiga Pulau Pinang, Jalan Lingkaran Dalaman George Town dan Jalan Pintas (By-Pass), Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Hitam, Pulau Pinang.

Hock Seng berkata beliau juga menerima taklimat pelaporan kertas kerja itu dari semasa ke semasa dari pejabat Rajendran.

“Kemudian, pada 16 Mac 2011, ketika mesyuarat MMK bersidang, saya menyatakan bahawa BUCG telah meminta supaya MoU ditandatangani secepat mungkin dan Lim telah menyarankan Datuk Farizan Darus iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk menandatangani memorandum berkenaan bagi pihak kerajaan negeri,” katanya.

Majlis tandatangan MoU antara kerajaan Pulau Pinang dengan BUGC di Putrajaya diadakan pada 28 April 2011, yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri China, yang turut dihadiri Lim.

“Pada 19 Mei 2011, Zarul dan Lee hadir ke pejabat saya untuk berbincang mengenai projek berkenaan. Selepas selesai perbincangan, saya telah menghadiri mesyuarat MMK pada pukul 3.30 petang, hari yang sama.

“Saya memberitahu kepada mesyuarat MMK bahawa wakil BUGC telah datang untuk mengadakan perbincangan mengenai penyediaan Request for Proposal (RFP) (Permintaan Untuk Cadangan). Kemudian, Lim menyarankan penyediaan RFP dipercepatkan,” katanya.

Mengenai projek berkenaan, Hock Seng berkata Pengurus Besar BUCG telah menjemput Lim dan delegasi kerajaan negeri ke Beijing melalui surat bertarikh 19 Mei 2011 dan Hock Seng turut mengesahkan bahawa 10 orang wakil delegasi termasuk beliau (Hock Seng) akan pergi ke Beijing pada 2 Jun 2011 dan pulang ke Malaysia pada 8 Jun 2011.

“Segala kos termasuk tiket penerbangan, tempat penginapan, makan dan minum di Beijing ditanggung oleh kerajaan negeri,” katanya.

Prosiding sesi petang hari ini ditangguhkan selepas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim memberitahu mahkamah bahawa seorang pembantu kawasan Parlimennya disahkan positif COVID-19 dan beliau ada meluangkan kira-kira lima minit bersama pembantunya itu ketika mengedarkan bakul makanan di Puchong tiga hari lepas.

“Saya akan membuat saringan COVID-19 hari ini dan saya akan memaklumkan keputusannya nanti,” katanya.

Hakim Azura Alwi kemudian menangguhkan perbicaraan sebelah petang dan meminta kes diteruskan esok dengan peguam lain jika Gobind tidak dapat hadir.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button