Berita Utama

3 operasi musnah pencerobohan hutan simpan dilaksana tahun ini

Lebih banyak operasi diadakan selepas dapat persetujuan kerajaan negeri, JPNP

RAUB, 4 Zulhijjah 1442H, Rabu – Sebanyak tiga operasi bersepadu pemusnahan hutan simpan kekal yang diceroboh di Raub berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Shahril Mohamad berkata, dua Operasi Musnah dan satu Operasi Pamah, dilaksanakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Ia membabitkan kebun durian Musang King dan pisang yang diusahakan secara haram.

“Operasi musnah pertama pada April lalu dilakukan terhadap Kompartmen Satu, Hutan Simpan Kekal Sempam, membabitkan lebih 16.2 hektar ditanam 4,000 pokok durian Musang King dan 1,300 Duri Hitam, selain pelbagai jenis pisang.

“Operasi musnah kedua pada Jun lalu dilakukan terhadap Kompartmen 48, Hutan Simpan Kelau membabitkan kawasan seluas lebih 12 hektar.

“Kawasan itu ditanam dengan lebih 4,000 pokok pisang pelbagai jenis dan kira-kira 350 pokok durian Musang King berusia antara enam bulan hingga tiga tahun,” katanya seperti dilapor BHOnline.

Manakala, Operasi Pamah bermula 3 Julai lalu hingga kini membabitkan kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam seluas lebih 101 hektar.

Operasi itu merupakan kemuncak pada usaha kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan PHD Raub menyekat pencerobohan hutan simpan kekal di daerah ini.

“Kegiatan menceroboh hutan simpan kekal di daerah ini lebih kepada untuk aktiviti menanam pokok durian Musang King dan beberapa durian klon terkenal lain seperti Duri Hitam, IOI, D24, Tekka dan beberapa jenis lain.

“Sebelum pokok durian mengeluarkan hasil pekebun mengusahakan tanaman kontan seperti pisang, terdapat juga di kalangan mereka menanam pokok petai, nangka dan cempedak,” katanya.

Katanya, selepas operasi menebang pokok durian dan pisang dilakukan, kerja menanam pokok hutan segera dilakukan Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat dalam usaha mengekalkan kawasan hijau di hutan simpan kekal berkenaan.

“Di Kompartmen Satu, Hutan Simpan Kekal Sempam kita menanam kira-kira 10,000 pokok hutan dan di Hutan Simpan Kekal Batu Talam sebanyak 20,000 kini sedang ditanam,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrul berkata, tidak mustahil lebih banyak operasi musnah akan diadakan selepas ini susulan mendapat persetujuan kerajaan negeri dan JPNP.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh hutan simpan kekal di daerah ini, mereka yang berada dalam hutan simpan kekal boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button