Berita Utama

Di mana pihak berkuasa ketika pencerobohan tanah berlaku?

Patuhi akta, jangan tunjukkan kegagalan tadbir urus

BANGI, 4 Zulhijjah 1442H, Rabu – Pelik! Tidakkah pihak berkuasa tempatan sedar sejumlah besar tanah kerajaan diceroboh pihak tidak sepatutnya dalam tempoh masa yang begitu lama. 

Lebih menghairankan, di manakah pihak berkuasa ketika pencerobohan berlaku dan apakah ada pihak terbabit sama menjadi ‘talian hayat’ kepada si penceroboh?

Demikian persoalan dibangkitkan Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim terhadap pelbagai laporan isu pencerobohan tanah kerajaan kebelakangan ini, khususnya di Raub, Pahang dan Negeri Sembilan.

Atas sebab itu, beliau berkata, BERJASA bersetuju dengan cadangan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam menggesa kerajaan untuk mendapatkan maklumat sebanyaknya mengenai aktiviti pencerobohan yang telah atau sedang berlaku ketika ini.

“Kita begitu sedar bahawa pentingnya melindungi tanah kerajaan, terutamanya yang berstatus Tanah Rizab Melayu di bawah Enakmen Negeri tertentu supaya dapat memastikan penguasaan orang Melayu terhaap tanah mereka masih terjamin.

“Penyusutan jumlah tanah rizab telah tercatat pada 2013, yakni sebanyak 12 peratus yang kemudiannya meningkaat kepada hampir 32 peratus pada tahun 2018. Namun, status semasa pula masih samar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, faktor penyusutan tanah rizab sebelum ini adalah berpunca daripada kelemahan pengurusan maklumat, kerja pemantauan dan penggunaan tanah yang tidak atau mengambil masa lama untuk diganti semula mengikut nilai serta keluasannya.

Lebih mengecewakan, apabila ada dakwaan bahawa tanah rizab ini dijual kepada orang bukan Melayu dengan meluas, katanya.

“Oleh itu, pihak perhutanan negeri perlu menjalankan tugas berlandaskan undang-undang secara menyeluruh dan pantas.

“Akta perhutanan negara kita sudah menyatakan bagaimana hutan-hutan ini perlu dikawal, cara mengambil hasil hutan dan sebagainya,” katanya.

Justeru, Ustaz Zamani menggesa pihak berkuasa mematuhi akta berkenaan tanpa sebarang kepentingan dan tidak menunggu segala aktiviti pencerobohan dibongkar oleh rakyat yang boleh menunjukkan kegagalan tadbir urus.

“Jika kerajaan negeri bersedia untuk memberi atau mewartakan satu kawasan hutan sebagai hutan simpan kekal bagi menggantikan kawasan terbabit, mereka boleh mengambil tindakan yang perlu seperti memberi lesen sementara.

“Langkah pewartaan terhadap tanah secara terus juga boleh membantu meningkatkan jumlah keluasan tanah rizab Melayu yang sehingga sekarang masih tidak mencapai 50 peratus seperti berada dalam Wasiat Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata, laporan semasa mengenai status tanah rizab Melayu, sama ada bertambah, menyusut atau sudah diganti mestilah didedahkan secara konsisten kepada rakyat.

“Ini penting agar rakyat bersama dalam agenda perjuangan mempertahankan tanah ini daripada pupus tanpa jejak.

“Hal ini sepatutnya menjadi keutamaan bagi sebuah negara yang berdaulat. Bertindaklah sekarang sebelum generasi kita dibiar merempat di tanah air sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button