Jemaah Menteri kekal sokong Muhyiddin sebagai PM
Sokongan dinyatakan dalam mesyuarat Kabinet hari ini

PUTRAJAYA, 4 Zulhijjah 1442H, Rabu – Ahli-ahli Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung, hari ini sebulat suara kekal memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Keputusan itu dinyatakan dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Kenyataan itu berkata, Ahli-ahli Jemaah Menteri juga ingin memaklumkan bahawa setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri setelah mengambil kira pandangan semua pihak.
“Keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara serta membawa negara keluar dari pandemik COVID-19,” katanya, hari ini.
Sabtu lalu, Pejabat Perdana Menteri dilapor menafikan kenyataan media menggunakan Jata Negara yang tular mendakwa, Muhyiddin akan melepaskan jawatannya, selain ia dianggap palsu kerana tidak dimuat naik ke Facebook rasmi.