Berita Utama

JPNP bertegas tak benar pekebun haram ambil barang di HSK Batu Talam

Tindakan ganggu siasatan pencerobohan hutan simpan sedang giat dilengkapkan

KUANTAN, 4 Zulhijjah 1442H, Rabu – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menolak permohonan pekebun haram untuk mendapatkan semula barang milik mereka yang tertinggal di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Dalam satu kenyataan, JPNP menegaskan, mereka tidak boleh memberikan kebenaran kerana ia akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

“JPNP telah meneliti laporan akhbar mengenai permohonan yang disampaikan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang berkaitan hasrat pekebun yang ingin memasuki ke kawasan operasi bagi tujuan mendapatkan semula barang milik mereka yang tertinggal di dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam.

“Setelah mendapat nasihat serta pandangan dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan juga Timbalan Pendakwa Raya, JPNP tidak membenarkan pekebun untuk memasuki Hutan Simpan Batu Talam untuk mengambil barang milik mereka.

“Kerana tindakan ini boleh mengganggu siasatan yang kini sedang giat dilengkapkan sepenuhnya untuk tujuan pendakwaan,” katanya, hari ini.

Semalam Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan kepada Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang berkunjung ke pejabatnya meminta agar pekebun haram terbabit dibenarkan memasuki kawasan operasi untuk mendapatkan semula barangan milik mereka yang tertinggal.

Berikutan itu, Wan Rosdy meminta Sin Woon mendapatkan sendiri kebenaran daripada pihak JPNP yang sedang giat melakukan penanaman pokok hutan di kawasan berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button