Pentas Nazim cungkil bakat lebih 400 orang kanak-kanak
Pertingkat disiplin, sahsiah anak-anak generasi pewaris bangsa
BANGI, 4 Zulhijjah 1442H, Rabu – Majlis Penutup Pentas Nazim yang berlangsung secara atas talian, kelmarin meriah dengan kehadiran ahli Kelab Anak-Anak Hebat (Nazim) seluruh Malaysia di laman sosial facebook – Keluarga.
Pentas Nazim merupakan platform mencungkil bakat anak-anak berumur tujuh hingga 12 tahun yang merangkumi pertandingan pidato, bercerita, hafazan al-Quran, azan, kolaj alam, reka cipta, nyanyian solo, khat dan hidangan minum petang.
Pertandingan yang bermula pada bulan April di peringkat cawangan dan berakhir di peringkat Nasional pada 26 Jun sehingga 3 Julai yang lalu itu, disertai oleh 400 orang kanak-kanak dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurut Pengarah Pentas Nazim, Hidayah Jasmi, antara objektif pertandingan ini diadakan ialah untuk mencungkil bakat, kreativiti dan melatih keyakinan dalam diri anak-anak ahli kelab Nazim seluruh malaysia.
Katanya, dengan suasana pandemik yang berlaku sekarang, pertandingan ini amat membantu ibu bapa untuk memberi nilai tambah dan menggarap potensi kepada anak-anak mereka.
Sementara itu, Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Hajah Asma Ahmad dalam ucaptamanya berharap, program ini akan terus dilaksanakan pada masa-masa akan datang.
“Melalui program ini, kita melihat anak-anak berdisiplin tinggi, cemerlang, kreatif, bersahsiah, tabah serta berani menerima kekalahan.
“Inilah anak-anak yang akan menjadi pewaris bangsa dan negara pada masa akan datang,” katanya.
Kemeriahan Majlis Penutup Pentas Nazim berakhir dengan pengumuman juara keseluruhan yang digondol oleh Zon Tengah 2 iaitu meliputi Nazim cawangan Kuala Lumpur, Damansara, Shah Alam, Klang, Kota Raja dan Subang Jaya.