Dunia

Thailand tetap gabung 2 vaksin meski WHO beri amaran

Trend bahaya kerana tidak disokong sebarang bukti kukuh

BANGKOK, 4 Zulhijjah 1442H, Rabu – Thailand mempertahankan keputusannya menggabungkan dua vaksin COVID-19 yang berbeza bagimelawan peningkatan jangkitan, meskipun saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran langkah itu adalah ‘trend bahaya’ yang tidak disokong sebarang bukti. 

Kerajaan negara itu kini berusaha menangani wabak yang didorong oleh varian berbahaya Delta, dengan lonjakan kes jangkitan dan kematian serta sistem kesihatan yang semakin lemah. 

Pihak berkuasa Thailand berkata, pihaknya memutuskan untuk menggabung dos pertama Sinovac dengan dos kedua dari AstraZeneca untuk mencapai kesan dalam tempoh enam minggu berbanding 12 minggu. 

Ketua Pakar Virologi Thailand, Yong Poovorawan berkata, keputusan itu mungkin dilakukan dengan kombinasi vaksin virus yang tidak aktif – Sinovac – dengan vaksin virus vektor seperti AstraZeneca. 

“Kita tidak sabar menunggu 12 minggu (untuk meningkatkan kesan) wabak ini di mana penyakit ini merebak dengan cepat. 

“Namun, di masa akan datang jika ada vaksin yang lebih baik … kita akan mencari langkah terbaik untuk menguruskan keadaan,” katanya. 

Poovorawan mengeluarkan keputusan demikian sehari selepas ketua saintis WHO, Soumya Swaminathan menyatakan kombinasi dua dos vaksin berbeza itu berisiko membawa kepada trend berbahaya. 

Thailand merekodkan lebih 353,700 kes jangkitan COVID-19 dengan 2,847 kematian – sebahagian besar dikesan sejak gelombang terbaharu bermula pada April di Bangkok. 

Pekerja kesihatan adalah golongan pertama yang menerima Sinovac, tetapi pihak berkuasa berkata, hampir 900 daripada mereka yang menerima suntikan vaksin itu dijangkiti COVID-19. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button