Berita Utama

BMF: Ahli Parlimen muslim diajak bantu pertingkat ekonomi Islam

Utama produk peniaga muslim dalam laksana bantuan bakul makanan

BANGI, 5 Zulhijjah 1442H, Khamis – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam ( PEMBELA) mengajak Ahli Parlimen muslim – tanpa mengira parti politik – membantu meningkatkan ekonomi Islam dengan mengutamakan produk serta peniaga muslim dalam melaksanakan bantuan bakul makanan.

Tindakan itu secara tidak langsung, akan meningkatkan jumlah kutipan zakat di kalangan peniaga dan pengusaha produk muslim.

Ia juga sekali gus dapat membantu pusat-pusat zakat untuk mengagihkan bantuan kepada lebih ramai asnaf dan golongan yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Naib Pengerusi PEMBELA, Cikgu Izzat Johari.

“Janganlah terburu-buru membeli barangan bukan Islam dan ingin mengejar nama dan menunjukkan kehebatan dengan jumlah yang terhad tersebut, kononnya membeli dengan bukan Islam lebih banyak kuantiti dan boleh disalurkan kepada lebih ramai.

“Akhirnya, apabila pusat khidmat ditutup, berapa ramai yang hampa dan kecewa dan mungkin balik dengan tangan kosong.

“Jangan terburu-buru. Ikut prosedur dan secara tidak langsung, dapat selarikan masa dan peluang kepada pekedai muslim untuk menyediakan barangan secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Cikgu Izzat menegaskan, walaupun kedai dan produk muslim diutamakan, tidak bermakna golongan bukan Islam diabaikan.

“Alangkah indahnya orang bukan Islam turut mendapatkan barangan keperluan asas yang berkualiti, diyakini bersih dan berkhasiat, semestinya produk muslim.

“Inilah masanya untuk kita semua membantu dan menggerakkan ekonomi kita. Inilah hasrat kerajaan mahu melihat ekonomi Malaysia bangkit semula. Bantulah peniaga-peniaga muslim,” katanya.

Penganjur utama Kempen Beli Produk Muslim (BMF) itu juga mengharapkan satu kerjasama terbaik daripada semua Ahli Parlimen muslim untuk bersatu hati dan bertindak bijak dalam mengutamakan produk dan perkhidmatan muslim.

“Kalau bukan kita lakukan perubahan, siapa lagi?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button