Berita Utama

Lelaki memandu bawah pengaruh dadah langgar 6 kereta

Suspek direman untuk siasatan ikut Akta Dadah Berbahaya 1952

BUKIT MERTAJAM, 1 Muharram 1442H, Khamis – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memandu di bawah pengaruh dadah dan melanggar enam kenderaan termasuk sebuah Ford Mustang di lokasi berbeza di Seberang Perai Tengah (SPT) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Shafee Abd Samad berkata suspek berusia 28 tahun terbabit ditahan selepas polis menerima laporan daripada enam mangsa mendakwa kenderaan dipandu mereka dilanggar oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios dalam kejadian bermula 12 tengah hari hingga 3.30 petang.

“Berdasarkan maklumat daripada enam pemandu itu, sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki telah melanggar kenderaan mereka di kawasan Jalan Bukit Tengah, Jalan Kebun Sireh, Jalan Murthy, Jalan Ooi Chooi Ceng, Jalan Muthu Pallaniappan dan Jalan Arumugam Pillai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis tidak menolak kemungkinan semasa lelaki itu melanggar enam buah kereta tersebut dia di bawah pengaruh dadah dan suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button