Berita Utama

Keberkesanan vaksin dapat dilihat dalam tempoh tiga hingga empat bulan

Trend penurunan kes masih kabur kerana Malaysia belum sampai kemuncak

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 5 Zulhijjah 1442H, Khamis – Lonjakan kes harian COVID-19 bukan sesuatu yang mengejutkan dan telah dijangka selari dengan peningkatan ujian saringan bersasar.

Presiden Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azizi Ayob berkata, indikator yang perlu dilihat adalah pada kadar positif yang mana masih tinggi ketika ini.

Katanya, kadar positif berdasarkan ujian saringan meningkat dari 5 peratus hingga 9.2 peratus. 

“Lebih banyak kita buat ujian, maka lebih banyak kes positif. Pada peringkat awal hanya 70,000 hingga 80,000 sahaja ujian dilakukan. Dan yang saya difahamkan semalam, sekitar 110,000 ujian telah dilaksanakan.

“Jadi indikator terbaik adalah kita lihat positivity rate (kadar positif) ujian tersebut. Saya sebagai petugas barisan hadapan yang terbabit di makmal COVID-19, kita tidak terkejut jumlah ini. 

“Kita tahu kadar positif itu masih tinggi. Jadi kalau nak kurangkan kes itu, ujian kena dikurangkanlah. Misalnya jika ujian saringan hanya 80,000 dengan kadar positif 9.2 peratus, baru 7,200 kes sahaja akan dicatatkan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, Prof Azizi berkata, trend penurunan kes masih lagi kabur kerana Malaysia belum sampai kemuncaknya lagi.

“Kita masih lagi tidak dapat melihat trend penurunan mahupun kemuncak kes. Agak sukar untuk menentukan bila akan berlaku peak (kemuncak) ini sebelum kita akan mencapai tahap plateau, kemudian penurunan. 

“Saya belum boleh menjangkakan kemuncak ini akan berlaku dalam masa dua tiga hari ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keberkesanan vaksin dan kaitannya dengan penurunan kes, beliau berkata, ia akan memakan masa selama tiga hingga empat bulan untuk menampakkan kesan.

Katanya, vaksin memerlukan masa untuk menghasilkan kesan yang optima dan untuk mencapai itu sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk perlu divaksin.

Beliau menjelaskan, vaksin tidak berfungsi untuk membunuh virus tetapi ia merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti serta boleh mengurangkan risiko keseriusan apabila dijangkiti COVID-19.

“Tempoh matang selepas terima dua dos vaksin pula akan mengambil masa antara 14 hari hingga 21 hari. Baru ia membina perlindungan (imuniti) terhadap virus yang menyebabkan COVID-19,” katanya.

Bagi mempercepatkan penurunan kes, maka katanya, pemberian vaksin perlu diberikan pada kadar yang lebih cepat dan banyak iaitu sekitar 500,000 dos sehari.

Selain itu, pesakit kategori 3 dan 4 perlu diberi rawatan aktif tambahan kepada rawatan sedia ada seperti ‘MSC Secretome dan Exosome CD24’ yang sedang digunakan di beberapa hospital luar negara.

“Hotel-hotel, hostel dan asrama di Lembah Klang juga boleh ditukar secara sementara untuk penempatan pesakit COVID-19 kategori 2 dan 3,” katanya. 

Dalam perkembangan terbaharu, kes jangkitan COVID-19 di seluruh negara hari ini melonjak kepada 13,215 kes, berbanding semalam, 11,618 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor mendahului jumlah jangkitan dengan 6,120 kes diikuti Negeri Sembilan (1,603 kes) dan Kuala Lumpur (1,499 kes).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button