Berita Utama

Kekal dalam PN, dominasi UMNO dijangka semakin kukuh?

UMNO tak banyak pilihan, kerjasama dengan PH bawa konflik lebih parah

BANGI, 5 Zulhijjah 1442H, Khamis – Jika menteri-menteri UMNO dalam kerajaan serta sebahagian Ahli Parlimennya yang lain bertekad menyokong Perikatan Nasional (PN), berkemungkinan gabungan itu akan terus bernafas, kata Setiausaha Agung Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad.

Bahkan, dominasi UMNO dalam PN berkemungkinan semakin kukuh selepas ini dan tidak mustahil Perdana Menteri yang akan dilantik bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin datang dari parti tersebut.

Pun begitu, tegas beliau, sekiranya UMNO secara sebulat suara bersetuju keluar PN, tidak banyak pilihan yang mereka ada.

“Pertama, menjadikan Muafakat Nasional sebagai perikatan baharu. Tapi PAS juga harus dipujuk keluar PN. Mahukah PAS yang kini sudah dilihat selesa berada dalam kerajaan?

“Walaupun bilangan Ahli Parlimen UMNO dan PAS masih belum mencukupi untuk mendapat majoriti mudah, namun dominasi dua parti orang Melayu terbesar negara ini amat strategik dari satu sudut pandang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya lagi, pilihan kedua yang ada bagi UMNO adalah bersepakat dengan Pakatan Harapan (PH), namun ia dijangka akan menjadi sesuatu yang merugikan.

“Mudah dapat majoriti bagi membentuk kerajaan jika kerjasama dengan PH. Tapi adakah UMNO sanggup berkawan dengan DAP? Bagi saya ia tidak mustahil. 

“Namun, pakatan ini amat merugikan dan bakal membawa negara ke arah konflik yang lebih parah apabila pembahagian kuasa dalam pakatan baharu ini dilakukan. 

“Bagaimana pula dengan Warisan dan GPS? Jangan risau, mereka hanya akan tunggu dan lihat. Saya yakin mereka akan sertai pakatan terkuat untuk terus kekal dalam kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button