Polis rampas 127 mesin bitcoin
Barangan elektronik turut dirampas, dua suspek ditahan hingga Sabtu
KUANTAN, 26 Rejab 1442H, Khamis – Polis merampas 127 unit mesin melombong bitcoin dalam serbuan di dua premis perniagaan sekitar Kuala Lipis, kira-kira 220 kilometer dari sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata 57 unit mesin itu dirampas pada jam 4.00 petang Selasa lepas (9 Mac) susulan penahanan dua lelaki di Gua Musang, Kelantan yang disyaki terbabit dengan kegiatan berkenaan.
“Turut dirampas ialah barangan elektronik yang digunakan dalam operasi bitcoin dan kedua-dua suspek berumur 25 dan 29 tahun direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, 70 lagi mesin bitcoin dirampas pada 3 Mac lepas di sebuah kedai membaiki motosikal di Pusat Perniagaan Lipis Jaya, yang tidak berpenghuni, menyebabkan polis terpaksa mengumpil pintu dan memotong mangga besi bagi memasuki premis berkenaan.
“Serbuan yang turut disertai pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga menemukan sambungan kabel elektrik secara haram,” katanya. -Bernama