Berita Utama

KKM disyor ambil idea pakar luar perangi COVID-19: BERJASA

Takkan nak hasil lebih baik tetapi usaha sama berulang kali?

BANGI, 5 Zulhijjah 1442H, Khamis – Kerajaan perlu meluaskan cakupan dalam memerangi COVID-19 dengan mengambil idea pakar ‘luar’ pada saat genting ini.

Mengesyorkan perkara itu, Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Hazwan Mohamad berkata, kerajaan dan pihak Kementerian Kesihatan tidak boleh terlalu ‘rigid’ mendengar pakar yang sudah berbulan-bulan berada dalam pasukan sekarang.

“Kita bukan suruh dengar pakar tepi jalan, kita ramai pakar perubatan PhD (ijazah doktor falsafah) dari universiti tempatan dan graduan universiti terkemuka luar negara yang telah bising di media sosial dan kertas kerja, tetapi saya lihat tidak ada pun satu cadangan daripada cadangan mereka ini diambil kira hari demi hari.

“Takkan kita nak hasil yang lebih baik tetapi hanya lakukan usaha yang sama berulang-ulang kali?” soalnya dalam kenyataan.

Hazwan berkata demikian susulan lonjakan kes baharu harian COVID-19 di negara ini yang terus berada pada tahap membimbangkan dengan pertambahan 13,215 kes dilaporkan hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor menjadi penyumbang tertinggi kes COVID-19 dengan 6,120 kes.

Menurutnya, pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 880,782 kes.

Turut mencatat pertambahan kes hari ini ialah Negeri Sembilan dengan 1,603 kes, diikuti Kuala Lumpur (1,499), Kedah (695), Johor (599), Pulau Pinang (509), Melaka (484), Sabah (370), Sarawak (363), Perak (344), Kelantan (255) dan Pahang (222).

Terengganu mencatat 70 kes baharu, Putrajaya (53), Labuan (26) dan Perlis (tiga).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button