Berita Utama

Mohon kebenaran jika mahu adakan majlis libat kehadiran ramai: Polis

Ia penting bagi pastikan pematuhan SOP ditetapkan

KOTA BHARU, 5 Zulhijjah 1442H, Khamis – Polis menasihatkan mana-mana pertubuhan atau individu yang ingin mengadakan majlis yang memerlukan kehadiran ramai orang supaya terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah masing-masing.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata, selain itu pihak terlibat juga perlu memaklumkan kepada polis mengenai acara atau majlis yang akan diadakan mereka.

Beliau berkata, tindakan itu adalah penting bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Acara atau majlis yang menyebabkan perkumpulan orang dalam jumlah ramai, perlu juga mematuhi segala SOP yang ditetapkan. Tindakan ini penting bagi mengelak berlakunya penularan COVID-19 sekiranya terlalu ramai orang berkumpul di satu-satu tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan 1,000 pek bekalan makanan oleh Syarikat Perindustrian Makanan dan Minuman Layang-Layang kepada golongan terjejas akibat pandemik COVID-19 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Kesemua pek makanan itu akan diserahkan kepada 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dengan setiap IPD menerima 100 pek bekalan makanan.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata sebanyak 656 daripada 3,000 bakul makanan yang diterima daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk Op Bantu sudah disampaikan kepada golongan terjejas sejak 7 Julai lepas.

Beliau berkata baki bakul makanan yang ada akan disampaikan secara berperingkat sebaik menerima maklumat daripada Ketua Balai dan penghulu di kawasan yang telah dikenal pasti. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button