Berita Utama

Permohonan tiga insentif Perkeso dibuka hari ini

Terus galakkan pewujudan pekerjaan baharu

KUALA LUMPUR, 5 Zulhijjah 1442H, Khamis – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengumumkan permohonan tiga insentif dilaksanakan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), dibuka mulai hari ini hingga 31 Disember tahun ini.

Dalam kenyataan hari ini, permohonan program insentif yang dibuka itu termasuk Program PenjanaKerjaya 3.0, Program KerjayaGig dan SIP Prihatin 2.0 untuk terus menggalakkan pewujudan pekerjaan baharu.

Menurut Perkeso, majikan yang telah menggaji pekerja bermula 15 Jun lepas dan seterusnya, layak untuk memohon insentif pengambilan pekerja di bawah program-program tersebut.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej PEMULIH bernilai RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat 28 Jun lepas.

Pakej itu membuka ruang untuk pelanjutan Insentif Pengambilan Pekerja melalui Program PenjanaKerjaya 3.0 yang melayakkan majikan menerima 40 hingga 60 peratus subsidi daripada jumlah gaji pekerja untuk tempoh enam bulan.

Kerajaan turut meluaskan Elaun Mencari Pekerjaan (SIP Prihatin 2.0) kepada golongan bukan pencarum Perkeso menerusi portal KerjayaGig, yang mana elaun sebanyak RM300 sebulan disediakan apabila mereka menghadiri tiga temu duga dalam sebulan bagi tempoh dua bulan.

Majikan dan pencari kerja boleh membuat permohonan insentif-insentif di bawah PenjanaKerjaya 3.0 dan Program KerjayaGig melalui pautan https://penjanakerjaya.perkeso.gov.my.

Sementara itu, permohonan bagi program SIP Prihatin 2.0 boleh dibuat melalui aplikasi telefon mudah alih Prihatin Perkeso yang boleh dimuat turun di Google Play Store ataupun Apple App Store mulai jam 12 tengah hari ini.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh layari laman web rasmi di www.perkeso.gov.my dan boleh hubungi nombor careline Perkeso di 1-300-22-8000. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button