Berita Utama

Semua penduduk Lembah Klang dijangka selesai terima vaksin COVID-19 bulan depan

Kelantan guna vaksin Pfizer sepenuhnya Ogos ini

PUTRAJAYA, 5 Zulhijjah 1442H, Khamis – Semua penduduk di Lembah Klang dijangka mendapat sekurang-kurangnya dos pertama suntikan vaksin COVID-19 awal bulan depan dan dos lengkap menjelang hujung bulan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ia merupakan perancangan semasa kerajaan dengan mengambil contoh kejayaan kesihatan awam termasuk proses vaksinasi di Labuan.

“Merujuk kepada kejayaan tindakan kesihatan awam dan vaksinasi di Labuan, kes jangkitan baharu dilihat menurun kepada 26 kes hari ini berbanding 1,340 kes sebelum ini. Ini menunjukkan keberkesanan vaksinasi walaupun jangkitan adalah daripada varian Delta.

“Dalam masa dua minggu pelaksanaan tindakan kesihatan dan vaksinasi di Labuan, penerima dos pertama adalah 87 peratus manakala 52 peratus telah lengkap menerima dua suntikan.

“Apabila penerima vaksinasi mencecah lebih daripada 52 peratus, kita dapati kes baharu COVID-19 di Labuan menurun,” katanya pada sidang media khas Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Beliau berkata, keberkesanan tindakan kesihatan awam dan peningkatan jumlah penerima vaksin itu dapat mencegah penularan varian Delta yang menular di Labuan.

Dr Noor Hisham berkata, kes di Labuan mencecah hingga 1,340 kes jangkitan varian Delta dalam masa seminggu menyebabkan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 120 peratus, serta memerlukan pertambahan sebanyak 22 katil ICU termasuk penyediaan hospital medan, dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Sekarang kita lihat kes ICU menurun kepada 55 peratus iaitu daripada 22 katil dikhaskan untuk pesakit COVID-19, kini hanya sembilan pesakit. PKRC kita ada 650 katil sekarang hanya lebih kurang 200 pesakit… ini menunjukkan walaupun varian Delta menular di Labuan tetapi apa yang penting kena tingkatkan vaksinasi,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kaedah itu perlu diguna pakai di Lembah Klang dengan meningkatkan kadar vaksinasi dalam tempoh terdekat sekali gus mengurangkan kes serta kadar kemasukan ke hospital.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 3.1 juta penduduk di Lembah Klang telah pun mendapat satu dos dan sebanyak lima juta dos akan diberikan di Lembah Klang.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba mengesahkan vaksin jenis Pfizer-BioNTech akan digunakan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Kelantan bagi menggantikan vaksin jenis Sinovac bermula bulan depan.

“Sebenarnya bukan di Kelantan sahaja malah akan diperluas ke seluruh negara memandangkan kita (kerajaan) telah menempah 45.7 juta dos Pfizer-BioNTech berbanding 16 juta dos Sinovac,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan penamatan pengagihan vaksin jenis Sinovac di semua PPV di Kelantan memandangkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) hanya akan membekalkan vaksin jenis Pfizer ke semua PPV di negeri itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button