Berita Utama

2 anggota polis ditahan, disyaki peras ugut

Suspek meminta mangsa berikan wang sebanyak RM200

KUALA LUMPUR, 6 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Dua anggota polis ditahan hari ini kerana disyaki memeras ugut seorang pekerja penyelenggaraan lampu jalan di sekitar Petaling Jaya semalam.

Anggota polis yang berpangkat konstabel dan lans koperal itu, ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 2.45 pagi tadi susulan laporan polis oleh seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam kejadian pada kira-kira 11.30 malam itu, pengadu mendakwa dia dan rakannya yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja telah ditahan kereta peronda polis kerana dikatakan memandu melebihi had dan melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPB).

“Anggota berkenaan mengarahkan pengadu untuk menghubungi majikannya dan memberikan telefon kepada anggota polis untuk bercakap dengan majikannya, kemudian anggota polis itu meminta pengadu memberikan wang sebanyak RM200,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata pengadu kemudiannya bertindak memuat naik satu kenyataan di laman Twitter dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan anggota polis terbabit.

Beliau berkata kedua-dua anggota polis berkenaan direman dua hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fakhrudin berkata pihaknya menahan 11 lelaki tempatan, berumur lingkungan 17 hingga 20 tahun, di sebuah premis di Damansara kerana disyaki ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya kesemua lelaki itu ditahan pada pukul 2 pagi tadi ketika sedang berkumpul dan berhibur sambil menikmati minuman keras, selepas polis menerima aduan daripada orang awam.

“Semua suspek negatif dadah namun tiga daripada yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah,” katanya menambah tangkapan dibuat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button