Dunia

COVID-19: Indonesia catat 1,205 kematian dalam tempoh 24 jam

Kes positif baharu berterusan melebihi angka 50,000

JAKARTA, 6 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Indonesia merekodkan 1,205 kematian akibat COVID-19, jumlah kematian harian tertinggi ketika kes positif baharu berterusan melebihi angka 50,000.

Menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, jumlah kematian keseluruhan akibat virus itu kini meningkat kepada 71,397 orang.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi iaitu sebanyak 345 orang, diikuti Jawa Tengah (255), Jawa Barat (137), Jakarta (132) dan selebihnya di provinsi-provinsi lain.

Kes baharu COVID-19 di Indonesia hari ini direkodkan sebanyak 54,000 menjadikan jumlah kes keseluruhan kini meningkat kepada 2,780,803 kes, dengan sebanyak 504,915 pesakit aktif (dirawat).

Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Muhadjir Effendy dalam sidang media hari ini mengumumkan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) di Pulau Jawa dan Bali yang tamat pada 20 Julai, dilanjutkan lagi sehingga 30 Julai ini.

Pemerintah Indonesia sebelum ini menguatkuasakan PPKM Darurat sejak 3 Julai lepas berikutan peningkatan kes COVID-19 akibat varian Delta yang lebih cepat menular.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat membeli belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor kurang penting, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restoren, kedai makan atau warung dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan rekreasi ditutup, selain larangan merentas daerah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button