Berita UtamaPendapat

Segerakan pemerkasaan pentadbiran keadilan Syariah

Tak kira jadi menteri atau tidak perkasa Mahkamah Syariah tanggungjawab semua

KEPADA Ahli Parlimen beragama Islam, berundinglah dengan baik secara bersama dalam hal pentadbiran keadilan Islam dan ambillah tanggungjawab secara bersama. Jangan perli memperli atau menuding jari antara satu sama lain”.

Assalamu’alaikum wrt wbt.

Moga para pembaca sentiasa berada dalam rahmat Allah.

Saya dihubungi beberapa orang wartawan mengajak saya berkongsi pandangan berkenaan RUU 355. Sejak akhir-akhir ini terdapat pihak yang menggesa Ahli Parlimen PAS mengemukakan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau lebih dikenali sebagai Akta 355.

Pada 26 Mei 2016, Ahli Parlimen Marang telah membentangkan, pada pertama kali, suatu Rang Undang-Undang bagi meminda Akta 355, yang kemudiannya terkenal dengan paggilan RUU 355. Perbahasan cadangan pindaan tersebut telah ditangguhkan dan versi penambahbaikan telah dibentangkan pada November 2016 dan April 2017. Sehingga itu,
RUU itu belum dibahaskan dan pihak kerajaan pada ketika itu belum memutuskan versi sebenar RUU. Maka ia menjadi tergantung kerana pertukaran kerajaan.

Pokok perkara yang saya mahu kongsi di sini adalah penambahbaikan kepada pentadbiran keadilan di mahkamah Syariah, dan RUU 355 atau pindaan kepada Akta 355 adalah salah satu cara yang difikirkan baik pada ketika itu oleh pihak berkaitan. Namun, oleh kerana perancangan tidak begitu teratur dalam memperkenalkan RUU 355 tersebut, ia telah menyebabkan penerimaan berbelah bahagi dalam kalangan masyarakat Islam dan juga bukan Islam.

Sepanjang ingatan saya, ekoran daripada cadangan pindaan kepada Akta 355 tersebut, kerajaan pada masa itu telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memperkemas sistem pentadbiran keadilan Syariah. Cadangan penambahbaikan pentadbiran keadilan itu melibatkan dua peringkat jawatankuasa, iaitu, Jawatankuasa Pemandu Memperkasa Mahkamah Syariah (2017) dan Jawatankuasa Utama Memperkasa Mahkamah Syariah.

Selain daripada dua jawatankuasa ini, terdapat tujuh kluster berkaitan telah ditubuhkan, iaitu Kluster RUU 355; Kluster Pengharmonian Undang-Undang; Kluster Pendidikan Undang-Undang; Kluster Pengurusan dan Penstrukturan Mahkamah; Kluster Latihan Hakim dan Pegawai Syariah; Kluster berkaitan Peguam Syarie; dan Kluster berkaitan Pendakwaan Syariah.

Tujuan jawatankuasa dan kluster ini ditubuhkan ialah bagi membolehkan usaha pemerkasaan ini dilaksanakan secara holistik atau menyeluruh. Ini kerana penambahbaikan yang tidak sekata ke atas agensi atau aspek berkaitan tidak membolehkan sistem bergerak secara efektif. Bagi pihak kerajaan pula, penubuhan Jawatankuasa tersebut menunjukkan bahawa kerajaan pada ketika itu serius dalam dalam usaha memperkasa mahkamah Syariah. Ia juga menjadi bukti komitmen dalam memperkasa mahkamah Syariah agar pemerkasaan tersebut mengambil kira semua aspek berkaitan pentadbiran keadilan Syariah, bukan sekadar hal ehwal jumlah atau tahap hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah Syariah.

Suka saya kongsi dengan para pembaca sekalian bahawa pada 13 Ogos 2020, laporan berita Bernama merakamkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai agama Islam menyatakan bahawa penstrukturan semula mahkamah sedang diusahakan dengan mengambil perhatian tentang kedudukan Islam sebagai urusan negeri yang berada di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan.

Walauapapun, saya fikir tanggungjawab memperkasa mahkamah Syariah atau pentadbiran keadilan Syariah adalah tanggungawab semua pemimpin tidak mengira parti politik. Ia adalah tanggungjawab mereka yang menjadi Menteri atau mereka yang tidak menjadi Menteri. Ini kerana Islam itu adalah milik semua walaupun tanggungjawab yang lebih besar adalah ke atas semua Ahli Parlimen yang memegang jawatan menteri atau timbalan Menteri berkaitan agama.

Dengan itu, hal berkaitan pentadbiran keadillan Islam ini tidah menjadi bahan politik mana-mana pihak. Islam adalah hak dan tanggungjawab bersama. Jangan mempolitikkan isu ini dengan menuding jari kepada mana-mana pihak. Kepada Ahli Parlimen beragama Islam, berundinglah dengan baik secara bersama dalam hal pentadbiran keadilan Islam dan ambillah tanggungjawab secara bersama, jangan perli memperli antara satu sama lain.

Justeru, para Ahli Parlimen, terutamanya mereka yang beragama Islam adalah diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan menubuhkan satu atau dua pasukan yang memfokus kajian dan usaha ke arah penambahbaikan dan pemerkasaan pentadbiran keadilan Syariah. Sekurang-kurangnya usaha sebelum ini perlu diteruskan kerana usaha yang pernah dilakukan itu adalah bukan sahaja bagi manfaat umat Islam, tetapi pentadbiran keadilan yang merangkum seluruh warga Malaysia.

Selamat berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara.

Pakar Perlembagaan
Prof Dr Shamrahayu A Aziz 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button