Berita Utama

Kes adik Bella: Pemilik Rumah Bonda ditahan polis

Polis buka kertas siasatan ikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan

BANGI, 6 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Pemilik Rumah Bonda – yang dikaitkan dengan penderaan melibatkan seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) – ditahan pihak polis, semalam.

Wanita berusia 29 tahun itu ditahan selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memberi keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, wanita itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

“Kertas siasatan baharu telah dibuka dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506, Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah,” katanya seperti dilapor Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis mengemukakan permohonan reman ke atas wanita itu pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

“Masyarakat perlu memahami, kita perlu ambil kira banyak aspek perundangan ketika jalankan siasatan, termasuk hak undang-undang serta keselamatan semua pihak yang terlibat termasuk situasi semasa.

“Sehubungan itu, kita minta masyarakat untuk terus beri keyakinan kepada pasukan penyiasat PDRM untuk melaksanakan tugas mereka,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali dengan nama Bella dipercayai didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

Difahamkan, penderitaan mangsa terbongkar apabila beberapa penghuni pusat jagaan kendalian NGO itu positif COVID-19 menyebabkan pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) datang ke premis berkenaan, sebelum mangsa ditemui.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button