Berita Utama

Lantik ahli Dewan Negara dalam RCI Lembaga Tabung Haji

Diharap akan naikkan semula reputasi di Malaysia dan global

KUALA LUMPUR, 6 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan Ahli Dewan Negara dilantik menyertai keanggotaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengerusinya Senator Datuk Razali Idris berkata penubuhan RCI itu diharap akan menaikkan semula reputasi syarikat konglomerat kewangan Islam utama di Malaysia dan global.

“Menerusi RCI kelak, TH dijangka memulihkan semula imej dan membina kembali identiti pengiktirafan dunia sebagai contoh pengurusan haji dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif dalam kalangan negara Islam.

“Dalam hal ini, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara yakin siasatan RCI kelak membolehkan TH yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam deposit, perkhidmatan dan operasi haji serta pelaburan dana akan memberi pulangan kepercayaan yang diyakini kepada lebih 10 juta pendeposit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata pendeposit mempunyai hak mutlak menerusi RCI untuk mendapatkan kebenaran dan maklumat tepat berhubung tadbir urus, integriti dan operasi yang berlaku antara 2014 hingga 2020.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan penubuhan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH susulan mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button