Berita Utama

7 Enakmen syariah Kedah sama dengan yang dibatal di Kelantan

Rujuk Sultan Kedah untuk tentukan sebarang tindakan lanjut

BANGI, 3 Syaaban 1445H, Selasa – Terdapat tujuh Enakmen Undang-Undang Syariah Kedah mempunyai persamaan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kerajaan negeri sudah menyemak tujuh enakmen berkenaan.

Beliau berkata, kesan ke atas pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 perlu diteliti secara terperinci bagi memastikan ia selari dengan undang-undang syariah Kedah.

Justeru, kerajaan negeri akan merujuk Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi menentukan sebarang tindakan lanjut selepas ini.

“Kita akan ambil tindakan yang wajar untuk perkukuhkan undang-undang syariah di negeri ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukan enakmen itu.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button