UA kurangkan RM185.7 juta yuran untuk manfaat 386,142 pelajar
Babit yuran perkhidmatan, asrama, konvokesyen dan aktiviti kolej

BANGI, 6 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Universiti Awam (UA) akan melaksanakan beberapa inisiatif melalui pengurangan yuran pelajar dalam menangani bebanan kewangan yang dihadapi sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
Langkah itu selepas Jabatan Pendidikan Tinggi melalui Surat Edaran bertarikh 22 Mac 2021 meminta UA memberikan kelonggaran dan pertimbangan sewajarnya terhadap tuntutan bayaran yuran, terutama kepada pelajar yang terjejas serta menghadapi masalah kewangan.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, inisiatif pengurangan itu membabitkan yuran perkhidmatan, yuran asrama, yuran konvokesyen dan yuran aktiviti kolej di antara 10 peratus sehingga 35 peratus bermula Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 sehingga kini.
“Pengurangan yuran bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 untuk semua pelajar warganegara Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta yang mana RM20 juta merupakan peruntukan tambahan kerajaan dan RM55 juta menggunakan sumber dalaman UA.
“Bagi Semester Pertama Sesi Akademik 2020/2021, pengurangan yuran sebanyak RM70.2 juta diberikan oleh Universiti Awam,” katanya, hari ini.
Manakala, bagi Sesi Kedua Akademik 2020/2021 pula pengurangan sebanyak RM40.5 juta telah diberikan, kata kementerian itu.
KPT berkata, inisiatif itu membabitkan implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM185.7 juta bagi manfaat 386,142 pelajar bagi ketiga-tiga semester.
“Langkah-langkah yang telah diambil ini jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam menangani bebanan kewangan yang dihadapi oleh pelajar dan ibu bapa.
“Kementerian juga berpandangan bahawa kadar pengurangan yuran yang dinyatakan adalah munasabah memandangkan 20 UA ini terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi dengan menggunakan sumber peruntukan dalaman universiti susulan penurunan penjanaan pendapatan menerusi yuran pelajar, selain pengurangan peruntukan mengurus oleh kerajaan berikutan pandemik yang dihadapi kini,” katanya.