Berita Utama

382 kakitangan MAIK potong gaji, bantu golongan memerlukan

Jumlah terkumpul Dana Awam Baitulmal kini lebihi RM100,000

KOTA BHARU, 7 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Seramai 382 kakitangan Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengambil inisiatif membuat pemotongan gaji bagi mengumpul dana untuk membantu seluruh golongan yang memerlukan di negeri berkenaan.

Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifle Ab Rahman berkata pemotongan gaji yang dimasukkan ke dalam Dana Awam Baitulmal itu bermula pada Januari lepas dan setakat ini, jumlah dana yang terkumpul sudah melebihi RM100,000.

“Konsep pemotongan gaji secara sukarela ini akan berakhir sehingga kakitangan MAIK yang antaranya terdiri daripada pegawai dan imam masjid di bandar negeri ini, sampai tempoh bersara.

“Gaji yang dipotong ini bukan untuk kakitangan tetapi bagi membantu seluruh masyarakat yang memerlukan seperti asnaf termasuk orang bukan Islam,” katanya kepada pemberita selepas Program Bantuan Prihatin MAIK dengan kerjasama Yayasan Amal Datuk Zul Wisma, di sini hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata inisiatif pemotongan gaji itu bukan sahaja usaha untuk membantu golongan terkesan susulan pandemik COVID-19, tetapi ia juga merangkumi semua aspek bantuan serta kebajikan.

Ditanya mengenai jumlah peratusan gaji yang dipotong, Zulkifle berkata jumlah tersebut tidak penting sebaliknya kerelaan serta kesungguhan kakitangan MAIK yang sedia membantu masyarakat seharusnya dipuji.

Sementara itu, mengenai Program Bantuan Prihatin MAIK, Zulkifle berkata seramai 300 individu yang terkesan oleh pandemik COVID-19 menerima sumbangan bakul makanan seperti beras, gula dan minyak masak, berserta wang tunai.

“Insya-Allah, MAIK akan meneruskan kerjasama dengan Yayasan Amal Datuk Zul Wisma dan MAIK juga akan berkolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain kerana kami yakin dan percaya kemampuan atau rangkaian yang mereka peroleh, untuk membantu kami mengenal pasti golongan terkesan pandemik COVID-19,” tambahnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button