Scam online: 18 warga China ditangkap dalam Ops Pelican
Peralatan elektronik, wang tunai hampir RM126,000 dirampas

BANGI, 7 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Seramai 18 warganegara China ditangkap dalam siri serbuan di ibu negara, menyasarkan premis-premis yang menjalankan aktiviti scam atau penipuan dalam talian.
Serbuan Ops Pelican di sekitar Kuala Lumpur yang dijalankan pada 16 Julai lalu itu membabitkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pengarah JIPS, Datuk Azri Ahmad berkata, polis merampas sejumlah telefon bimbit, komputer, alat-alat elektronik lain dan wang tunai berjumlah hampir RM126,000.
Beliau berkata, aktiviti penipuan itu telah berjalan sejak dua bulan lalu dengan mengaut keuntungan dianggarkan sehingga RM300,000 sebulan.
“JIPS akan menjalankan siasatan sekiranya terdapat penglibatan pegawai dan anggota polis dalam aktiviti ini, sementara siasatan dari sudut jenayah dan Akta Imigresen akan dibuat oleh Polis Kuala Lumpur.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus membanteras aktiviti penipuan dalam talian bagi mengelakkan lebih ramai orang, sama ada warga tempatan atau warga asing daripada menjadi mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.