Berita Utama

Selangor, KL kekal Fasa 1 PPN: TPM

Nilai ambang 3 indikator perlu dicapai sebelum beralih ke Fasa 2

KUALA LUMPUR, 7 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Selangor dan Kuala Lumpur kekal dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun kerajaan telah mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim dan lokaliti di dua negeri terbabit semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun nilai ambang vaksinasi 10 peratus populasi dewasa sudah dicapai namun kes COVID-19 masih tinggi dan tahap penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) masih kritikal.

“Nilai ambang tiga indikator utama di Selangor dan Kuala Lumpur perlu dicapai sebelum beralih ke Fasa Dua,” menurutnya dalam kenyataan berhubung perkembangan PPN dan PKPD hari ini.

PKPD di 34 mukim di Selangor dan sembilan lokaliti di Kuala Lumpur, yang bermula 3 Julai lepas, ditamatkan semalam setelah kerajaan meneliti pembentangan situasi semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata selepas ini PKPD akan dikenakan ke atas lokaliti yang merekodkan trend peningkatan kes COVID-19 mendadak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button