Berita Utama

TH perlu kekal diurus oleh orang Islam sahaja

Mantapkan barisan pengurusan TH, lantik tokoh ekonomi Islam berkaliber

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 7 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengalu-alukan usaha kerajaan dalam melakukan penambahbaikan berterusan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH). 

Pun begitu, usaha ini perlu dilakukan dengan ikhlas dan mengambil kira kepentingan umat Islam tanpa wujud motif-motif lain, kata Timbalan Presiden ISMA, Dr Ahmad Kamsani Samingan. 

Beliau menegaskan, TH adalah sebuah institusi ekonomi umat Islam yang berperanan besar dalam membangunkan sosioekonomi serta pegangan ekonomi umat Islam secara menyeluruh. 

Justeru, bagi memastikan hasrat ini tercapai, TH perlu kekal diurus oleh orang Islam sahaja, tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas Kementerian Kewangan mengumumkan TH akan disenaraikan sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, serta dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam pada itu, Dr Ahmad Kamsani berkata, TH bukan sebuah bank yang hanya melihat kepada untung dan rugi dalam setiap urus niaga, jauh sekali TH diperalatkan oleh golongan kapitalis untuk mengaut keuntungan dari duit simpanan umat Islam.

“ISMA berpandangan bahawa Akta Tabung Haji 1995 sudah memadai bagi mencapai tujuan penubuhannya. Sekiranya perlu semakan, ia hendaklah dilakukan tanpa mengurangkan keistimewaan status TH demi kelangsungan masa depan umat Islam.

“ISMA turut berpandangan bahawa adalah lebih baik pada masa sekarang untuk memantapkan barisan pengurusan TH dengan melantik tokoh-tokoh ekonomi Islam yang berkaliber, profesional, berintegriti dan berpengalaman, tanpa mengambil kira kecenderungan politik masing-masing,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini

Bukan itu sahaja, pengurusan TH juga perlu dibebaskan daripada kongkongan politik, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

“Ini supaya kepentingan ekonomi umat Islam sentiasa diutamakan. Amalan melantik pengerusi TH dari kalangan ahli politik mesti ditamatkan,” katanya.\

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button