Berita UtamaDunia

20 orang langgar peraturan haji didenda 10,000 riyal

Hanya penduduk dan warganegara yang sudah vaksin boleh tunai ibadah haji

MAKKAH, 8 Zulhijjah 1442H, Ahad – Seramai 20 orang didenda sekitar 10,000 Riyal (RM11,222.52) kerana melanggar peraturan dan undang-undang haji,  lapor Saudi Press Agency (SPA), hari ini.

Jurucakap bagi Pejabat Pemerintah Pasukan Keselamatan Haji, Brigadier Jeneral Sami Al-Shuwairekh meminta semua warga dan penduduk Arab Saudi untuk mengikuti peraturan yang ditetapkan pada musim haji tahun ini.

Beliau menekankan, anggota keselamatan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mempunyai kebenaran untuk memasuki Masjidil Haram, Mina, Muzdalifah, Arafah dan kawasan sekitarnya.

Ibadah haji tahun ini berlangsung mengikut peraturan dan undang-undang yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19 semasa ziarah suci. 

Oleh itu, hanya 60,000 jemaah yang diterima untuk melaksanakan ibadah haji tahun ini, dengan syarat memenuhi kriteria tertentu.

Hanya warganegara dan penduduk yang telah menerima vaksin yang diberi keizinan untuk melakukan ibadah tersebut, dengan jemaah haji yang berusia antara 18 hingga 65 tahun, tanpa menghidap penyakit kronik, serta tidak pernah menunaikan ibadah haji sebelumnya.

Lazimnya, Makkah menyambut lebih daripada 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia untuk mengerjakan haji.

Pada tahun 2020, beberapa bulan setelah wabak COVID-19 muncul, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan 10,000 orang untuk mengambil bahagian dalam melaksanakan ibadah tersebut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button