Berita Utama

GST masih diperingkat kajian

Tiada pengumuman akan laksana GST dalam masa terdekat: PM

KUALA LUMPUR, 5 Zulkaedah 1443H, Ahad – Keputusan sama ada kerajaan akan melaksanakan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau tidak, masih di peringkat kajian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada sebarang pengumuman daripada beliau bahawa kerajaan akan melaksanakan semula GST dalam masa terdekat, sebaliknya satu kajian dan pertimbangan termasuk kesan pelaksanaan semula sistem percukaian itu sedang dilakukan.

“Ramai orang terus melompat bila saya berkata tidak menolak kemungkinan (untuk melaksanakan semula GST), tapi saya kata perlu dikaji, kita perlu kaji buruk dan baiknya.

“Bukan saya umumkan akan melaksanakan GST, saya kata kita akan buat kajian sebab kajian mendapati kita kekurangan pendapatan sebanyak RM30 bilion setahun kerana berpindah daripada GST kepada SST (cukai jualan dan perkhidmatan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu, hari ini.

Ismail Sabri dalam wawancara khas bersama kumpulan media Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara, dan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem percukaian itu sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara, bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri menjelaskan apa yang paling penting adalah, rakyat perlu difahamkan terlebih dahulu sekiranya kerajaan bercadang untuk memperkenalkan sebarang sistem percukaian baharu.

“Kalau kita rasa SST dah tak sesuai, (sistem percukaian) apa yang kita nak gantikan dan rakyat perlu difahamkan dahulu. Kita hendak supaya apa yang kita umumkan diterima rakyat, bukan ditolak rakyat.

“Kita banyak pertimbangan lagi yang akan kita tengok. Adakah kesan daripada GST itu berlaku kenaikan harga, adakah waktunya sesuai sekarang ini ataupun akan datang, berapa tahun lagi. Jadi jangan risau, sampai masanya kita akan dedahkan, kita akan umumkan,” katanya.

GST kali pertama dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus.

GST kemudiannya digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan apabila ia digantikan dengan sistem SST bermula 1 Sept 2018.

Kadar cukai semasa bagi cukai jualan adalah lima peratus dan 10 peratus, manakala kadar cukai perkhidmatan ialah enam peratus. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button