Berita Utama

98 peratus kes COVID-19 di KL, Putrajaya kategori 1 dan 2

Jumlah kes kontak rapat, sporadik pada Sabtu menurun berbanding Jumaat

KUALA LUMPUR, 8 Zulhijjah 1442H, Ahad – Sebanyak 98 peratus daripada 1,781 kes COVID-19 baharu yang dikesan di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada hari Sabtu (17 Julai) berada di Kategori 1 (tanpa simptom) dan 2 (simptom ringan).

Pusat Penyelarasan dan Pengurusan COVID-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP) berkata, terdapat 789 kes (44.5 peratus) yang tidak menunjukkan sebarang simptom dan 954 kes (53.3 peratus) dengan simptom ringan.

Kategori 3 (pneumonia atau radang paru-paru) dan Kategori 4 (pneumonia dan memerlukan terapi oksigen) hanya merangkumi 2 peratus daripada semua kes dengan 23 dan 14 kejadian masing-masing.

“Jumlah kes kontak rapat dan kes sporadik juga menurun sedikit berbanding hari Jumaat (16 Julai).

“Jangkitan kontak rapat mencatatkan 743 kes (42 peratus) sementara terdapat 443 (25 peratus) jangkitan sporadik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

CCMC-WP memaklumkan bahawa daripada 1,781 jangkitan baru, sekitar 65 peratus adalah warganegara sementara 35 peratus adalah warga asing.

Ia juga menyatakan bahawa tiga kluster aktif di tapak pembinaan menyumbang kepada 24 peratus kes.

Tapak pembinaan itu ialah Serene Mont Kiara (12 kes), Residensi Laman Sari di Batu (141) dan Maple Residence di Taman OUG (270).

Residensi Laman Sari dan Maple Residence adalah kluster baru.

Terdapat 11 kluster komuniti, yang mencatatkan sejumlah 97 kes pada hari Sabtu (17 Julai).

Pusat itu juga menggesa warga emas yang belum menerima janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera untuk pergi ke mana-mana pusat vaksinasi di Wilayah Persekutuan.

“Penduduk lain yang belum mendapat janji temu boleh mendapatkannya melalui program Vaksinasi Prihatin di Rumah Prihatin @ Grand Seasons dengan menghubungi 011-7074 2318,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button