Berita UtamaDunia

UAE tandatangan perjanjian cukai dengan negara haram

Tel Aviv gambarkan ia pemacu perkembangan perniagaan antara kedua ‘negara’

ABU DHABI, 20 Syawal 1442H, Selasa – Negara haram Israel menandatangani Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (PPPDK) dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam kata Kementerian Kewangan Israel.

Kementerian itu menggambarkan langkah tersebut sebagai pemacu perkembangan perniagaan antara kedua ‘negara’ setelah mereka menormalkan hubungan tahun lalu, lapor Reuters.

Sebelum ini, Kementerian kewangan UAE mengatakan pada bulan Oktober bahawa mereka telah mencapai persetujuan awal dengan Israel untuk mengelakkan cukai berganda.

Konvensyen itu masih perlu diratifikasi di Knesset dan oleh kerajaan, dan pengesahan akhir dijangkakan pada akhir tahun ini. Peruntukannya dijangka berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022.

Ini adalah perjanjian cukai pertama yang dicapai setelah Israel menormalkan hubungan dengan UAE dan Bahrain tahun lalu.  

Perjanjian itu didasarkan pada model Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), kata Menteri Kewangan Israel, Israel Katz dalam satu kenyataan, sambil memaklumkan bahawa ia ‘memberikan kepastian dan syarat yang baik untuk aktiviti perniagaan dan akan mengukuhkan hubungan ekonomi’ dengan UAE.

Di bawah perjanjian itu, pemotongan cukai, dividen dan royalti dihadkan.

Menteri Luar Negeri Israel, Gabi Ashkenazi mengatakan perjanjian itu akan membolehkan promosi pelaburan dan perdagangan yang signifikan yang akan membantu ekonomi kedua-dua negara.

Sejak perjanjian normalisasi ditandatangani pada September lalu, bank Israel dan Emirat serta syarikat lain telah menandatangani perjanjian kerjasama, dan juga membuat penerbangan langsung. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button