Dunia

PA desak antarabangsa beri tekanan terhadap penjajah Israel

Pengganas kerap lancar perang terbuka di Baitulmaqdis, Kawasan C Tebing Barat

RAMALLAH, 8 Zulhijjah 1442H, Ahad – Pihak Berkuasa Palestin (PA) mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada pengganas Israel yang mengendalikan pembersihan etnik terhadap penduduk Palestin di Baitulmaqdis serta Kawasan C. 

Kementerian Luar Negeri PA dalam satu kenyataan menuduh pengganas Israel melancarkan perang terbuka terhadap tanah Palestin, terutama di Kawasan C, Tebing Barat dan menentang kewujudan penduduk Palestin di situ. 

“Realiti berdarah terhadap rakyat Palestin ini tidak hanya melemahkan peluang untuk mencapai perdamaian berdasarkan penyelesaian dua negara, tetapi juga mengubah kedudukan antarabangsa kepada kata-kata kosong,” katanya. 

Kementerian itu mengingatkan bahawa bahaya dan kesan daripada tindakan rejim Zionis itu akan mengancam nyawa dan melemahkan kedudukan rakyat Palestin.

“Penjajah bersenjata dan pasukan tentera sering melakukan serangan bersama terhadap rakyat kita dengan persetujuan serta sokongan daripada pihak politik Israel. 

“Inilah waktunya masyarakat antarabangsa yang dipimpin Majlis Keselamatan PBB sedar bahawa pendirian terhadap penyelesaian dan kezaliman penjajah Israel tidak mencukupi. 

“Ini kerana pihak berkuasa penjajah sering mengabaikan reaksi antarabangsa,” kata kementerian itu.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button