Berita Utama

Relevan lagikah darurat selepas keputusan buka bazar Ramadan?

Sidang Parlimen penting semak imbang Eksekutif elak kemungkaran tersembunyi

BANGI, 3 Syaaban 1442H, Rabu – Tindakan kerajaan meluluskan pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, selain kebenaran bersolat tarawih di surau serta masjid menimbulkan persoalan sama ada darurat masih lagi relevan atau tidak.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi secara sinis berkata, kalau semua – perkara – sudah boleh, kerajaan sepatutnya beri tarikh kepada Yang di-Pertuan Agong, bila Parlimen boleh bersidang.

“Ini alasan yang kerap kita dengar kenapa ‘darurat’ diistihar dan ‘Parlimen digantung’. Untuk memerangi COVID-19, mengurangkan politiking, ramai Ahli Parlimen sudah tua, faktor sains dan data.

“Alasan ramai Ahli Parlimen sudah tua paling tidak logik. Sudah tentu ramai warga emas akan pergi bazar Ramadan, bazar Aidilfitri dan solat tarawih. Alasan jangan melucukan,” bidasnya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Puad yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) menegaskan, sidang Parlimen penting supaya Eksekutif tidak melakukan kemungkaran tersembunyi kerana ketiadaan ‘semak dan imbang’.

“Ini soalan untuk PM. Angka yang menurun sekarang ini adakah kerana PKP atau kerana darurat? Hadapilah realiti dengan berani,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas berbincang dan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta ahli majlis mesyuarat yang lain, mesyuarat jawatankuasa teknikal bersetuju membenarkan operasi pasar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara.

“Kita juga bersetuju membenarkan solat tarawih serta tadarus al-Quran dan tazkirah. Namun prosedur operasi standard (SOP) bagi semua aktiviti ini perlu ketat serta dipatuhi semua pihak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button