Berita Utama

Inisiatif ‘walk-in’ selepas 1 Ogos hanya untuk individu belum dapat tarikh janji temu

PPV sedia ada sekarang tak semestinya dibuka untuk walk-in

BANGI, 9 Zulhijjah 1442H, Isnin – Inisiatif ‘walk-in’ vaksinasi bermula Ogos ini di Selangor dan Kuala Lumpur hanyalah untuk golongan yang tercicir dan belum mendapat janji temu selepas tarikh tersebut.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) menegaskan, inisiatif itu bukan untuk orang ramai yang sudah diberikan tarikh janji temu masing-masing.

“Contoh golongan yang belum mendapat janji temu ini adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan, seperti yang diterangkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin pada 16 Julai 2021,” kata CITF dalam kenyataan, hari ini.

CITF memberi jaminan bahawa individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang telah mendaftar sebelum ini akan diberikan janji temu dalam masa terdekat. 

Dalam pada itu, individu yang masih belum mendaftar tetapi tiada kekangan untuk berbuat demikian, juga digalakkan untuk mendaftar untuk vaksinasi secepat mungkin.

“CITF juga ingin memaklumkan bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan beroperasi untuk tujuan walk-in pada bulan Ogos nanti akan dikemas kini dan dimaklumkan kelak, di mana PPV yang ada sekarang tidak semestinya akan dibuka untuk inisiatif walk-in ini.

“Dalam pada itu, CITF ingin menyeru agar mereka yang telah menerima janji temu vaksin untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV yang telah diberikan. 

“Ini mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas, kes COVID-19 yang tinggi dan keperluan untuk mendapat perlindungan melalui vaksin secepat mungkin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button