Berita Utama

Isu TH: Jemaah Menteri jangan cuba memandai-mandai

Sudah ada akta khusus, jaminan kerajaan tidak boleh jadi asas kawal tadbir urus

BANGI, 9 Zulhijjah 1442H, Isnin – Persatuan Pengguna Islam Malaysa (PPIM) membantah sekeras-kerasnya keputusan kerajaan meletakkan Tabung Haji (TH) dibawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).

Menerusi satu kenyataan hari ini, persatuan itu menegaskan TH bukanlah sebuah institusi kewangan Islam biasa, justeru tidak layak untuk diletakkan di bawah pentadbiran Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

“TH adalah ‘over and above’ kewangan perkhidmatan Islam kerana tujuan utama simpanan oleh umat Islam negara ini adalah untuk tujuan menunaikan tuntutan agama itu.

“Keputusan yang diambil ini kami anggap adalah bersifat bermandai-mandai dari pihak Jemaah Menteri dalam mencampuri urusan satu-satunya organisasi yang ditubuhkan di
bawah satu akta khusus,” katanya.

Susulan sudah ada akta khusus yang mengawalnya, PPIM berkata, jaminan kerajaan ke atas simpanan ini tidak boleh menjadi asas untuk mengawas tadbir urusnya di bawah BNM.

Tegasnya lagi, TH bukan sahaja sebuah institusi simpanan tetapi sebuah institusi pelaburan yang bebas melabur dalam banyak bidang dan bukan seperti bank-bank biasa – yang hanya cenderung kepada menjadi peminjam yang menawarkan perkhidmatan yang menekan pengguna.

“Selain itu, prestasi TH setakat ini telah dibuktikan sebagai salah satu model kewangan yang dikagumi oleh dunia khususnya di kalangan negara-negara Islam,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menambah baik pengurusan dan operasi Lembaga TH secara menyeluruh yang antara lain melibatkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Kementerian itu berkata, Jemaah Menteri turut menyenaraikan TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.

Bagaimanapun keputusan kerajaan itu dikecam beberapa pihak susulan bimbang ia membawa implikasi yang sangat besar kepada masa depan TH serta jaminan simpanan pendeposit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button