Uncategorized

Kerana salah guna kuasa rosak imej agama

Jangan berselindung di sebalik, jubah, kopiah, songkok dan sifat luaran lain

ARTIKEL minggu ini adalah sambungan daripada minggu lalu, ‘nampak alim jangan sangka tidak rasuah’.

Terkini, sedang heboh diperkatakan netizen mengenai salah guna kuasa dan rasuah yang berlaku di salah sebuah universiti awam, melibatkan warga akademik sehinggakan pihak berkuasa telah masuk campur.

Antara perkara yang sedang disiasat adalah berkaitan salah guna kuasa, pemberian kontrak tanpa tender, bernilai jutaan ringgit.

Juga sedang disiasat berkaitan, ada unsur penipuan berkaitan elaun peribadi dan bayaran kepada firma guaman tanpa keperluan. Tidak ketinggalan lawatan keluar negara, berpuluh kali dalam setahun ketika ketika PH memerintah, dan beberapa lagi salahguna kuasa yang lain.

Ada orang kata itu semua fitnah. Jika fitnah, takkan pihak berkuasa mula campur tangan?

Sama ada bersalah atau tidak, biarlah masa yang menentukan. Pihak berkuasa telah memulakan siasatan.

Namun, jika tidak ada angin, masakan pokok bergoyang. Jika dakwaan itu tidak benar, bersihkan nama sendiri. Tak payah heboh sana sini. Lagi pun ini negara demokrasi, kita ada hak pertahankan diri.

Amat malang sekali bila ada warga akademik universiti disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah, kerana universiti itu adalah gedung ilmu.

Akademik sepatutnya mesti bersih, atas ilmu yang dijunjungnya dalam mendidik anak bangsa. Mana nak letak muka kepada pelajar yang kita gelar sebagai anakanda, kita pula adalah ayahanda kepada mereka. Di manakah maruah kita?

Apapun, kita tunggu sehingga siasatan selesai. Dalam demokrasi, seseorang yang dituduh itu, tidak bersalah, sehingga dibuktikan bersalah.

Peliknya, ada suara sumbang di luar sana, yang menuduh, Tindakan atau siasatan ini dibuat lebih bermotifkan politik disebabkan oleh lantikan politik yang dibuat di universiti oleh PN, untuk membalas dendam kepada lantikan PH.

Persoalannya, adakah lantikan PH dahulu tidak ada lantikan politik? Adakah kita semua sudah lupa apa yang berlaku di universiti awam ketika PH memerintah?

Kita masih tidak dapat lupa sebelum ini, ketika PH memerintah, lantikan politik banyak dilakukan, terutama universiti awam. Walaupun hari ini setelah tidak berkuasa, PH menafikannya.

Buktinya, ketika PH memerintah, boleh dikatakan habis semua lantikan BN sebelum itu, ditamatkan dengan segera dan digantikan dengan orang-orang mereka.

Tidak cukup dengan itu, orang yang dilantik mengetuai universiti awam atau institusi lain itu, akan melakukan ‘pembersihan’ iaitu membuang orang-orang lama lantikan sebelum itu dan digantikan dengan orang mereka.

Dalam kata lain, mereka membina ‘empayar kerajaan’ mereka sendiri, di mana mereka ditempatkan, seolah-olah institusi itu bapa dia yang empunya.

Malangnya, perancangan busuk dan licik ini tidak kekalkan lama, dengan izin Allah, kerajaan yang diterajui PH selama 22 bulan jatuh dan digantikan oleh PN.

Hari ini, apabila PH tidak berkuasa lagi, mereka sibuk menuduh lantikan PN di universiti lebih bersifat politik. Habis, ketika mereka berkuasa, tidak ada lantikan politikkah? Cuba kita kaji satu persatu, pasti akan bertemu dengan jawapan.

Sebenarnya, jika berlaku lantikan politik sekali, orang yang dilantik benar-benar berwibawa dan berkelayakan apa salahnya? Janji boleh buat kerja dengan baik. Lebih-lebih jika mereka beramal dengan sifat amanah dan ikram.

Telah lama saya katakan dahulu, ketika PH memerintah, bukan main mereka berazam dan beriltizam untuk membenteras rasuah dan salah guna kuasa. Saya amat mengharapkan lantikan PH yang masih berbaki perlu membuktikannya, bahawa mereka benar-benar beramalkan dengan sifat amanah dan sifat ikram.

Jangan berselindung di sebalik, jubah, kopiah, songkok dan lain-lain yang bersifat luaran. Jangan mengata dulang paku serpih, mengata orang, sendiri yang lebih.

Kita mesti beramal dengan sifat amanah dan sifat ikram, kerana sifat ini sangat mulia. Saya amat sayangkan sifat ikram dan amanah itu, cuba beramal sebaik mungkin.

Pesan saya kepada warga akademik, terutama mereka memegang jawatan tinggi, sama ada dilantik oleh PH atau PN. Berikram dan beramanahlah, kerana seksaan Allah itu pasti jika kita engkar.

Jangan salah guna sifat amanah dan sifat ikram dengan menjadikan ia label sahaja. Semua sifat itu ada pada Nabi. Justeru, pegang betul-betul. Jangan rosakkan sifat ikram dan sifat amanah dengan salah guna kuasa dan salah laku kita. Rosak habis imej agama kita.

Dalam kata lain, jangan berselindung di sebalik sifat-sifat baik itu. Bak kata Hamka, pendidik yang tiada visi untuk dirinya agak mustahil untuk dia menanamkan visi terhadap anak didiknya. Orang yang tidak ada apa-apa tidak boleh memberikan apa-apa.

Hamka mahu kita bekerja dengan penuh integriti. Jangan bekerja sekadar bekerja. Kalau sekadar bekerja, babi, monyet, kera, lotong pun bekerja untuk hidup. Apa yang membezakan antara kita dengan makhluk tersebut? Jika kita adalah manusia, semakin bertambah kepercayaan kepada agama, bertambah tinggi darjatnya di dalam pergaulan hidup, dan bertambah baik tingkah laku dan akal budinya, bukan sebaliknya. Membujur lalu, melintang sapu.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button