Berita Utama

Sultan Selangor bimbang pihak berdegil pulang ke kampung pada Aidiladha

Baginda harap orang Melayu Islam tak telingkah isu remeh

BANGI, 9 Zulhijjah 1442H, Isnin – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan perasaan bimbang sekiranya masih ada pihak yang berdegil untuk pulang ke kampung di luar daerah sempena perayaan Aidiladha.

Menerusi perutusan sempena Hari Raya Aidiladaha, baginda mengambil kesempatan menasihati umat Islam agar menyambut perayaan itu di rumah masing-masing bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 yang tidak terkawal.

“Baginda masih berdukacita kerana perayaan umat Islam yang sepatutnya disambut dengan semangat kesatuan ummah bagi mengeratkan ukhwah ini, terpaksa diadakan dalam keadaan yang terhad dan waspada.

“Oleh itu, baginda menggesa orang Melayu Islam supaya mengukuhkan perpaduan dan teguh bersatu hati menuruti setiap perintah Allah SWT.

“…serta tidak mengadu domba dan bertelingkah mengenai isu-isu remeh yang tidak bermanfaat,” kata perutusan itu yang dimuatnaik menerusi laman Facebook Selangor Royal Office.

Dalam kenyataan sama, Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di negeri ini.

Baginda turut berharap sambutan kali ini diraikan dalam suasana sederhana dan setiap aktiviti membabitkan ibadah korban dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Baginda mahu supaya umat Islam terus memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar sekalian rakyat terus dilindungi dan dijauhkan daripada musibah wabak COVID-19 dan kematian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button