Berita UtamaDunia

Turki kecam keputusan mahkamah EU benar majikan larang pekerja bertudung

Langgar kebebasan beragama, punca meningkatnya Islamofobia di Eropah

ANKARA, 9 Zulhijjah 1442H, Isnin – Turki membantah keputusan Mahkamah Tinggi Kesatuan Eropah (EU) yang membenarkan majikan melarang pemakaian simbol kepercayaan agama  seperti tudung.

Khamis lalu, Mahkamah Keadilan EU (ECJ) yang berpusat di Luxembourg memutuskan bahawa syarikat-syarikat di blok itu boleh melarang pekerja memakai tudung dalam keadaan tertentu.

Mengecam keputusan itu, Kementerian Luar Negeri Turki dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu sebagai petanda meningkatnya Islamofobia di Eropah.

Ankara turut menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘pelanggaran jelas terhadap kebebasan beragama’ dan menegaskan situasi itu akan memperburuk prasangka terhadap wanita Muslim di Eropah.

“Keputusan itu dibuat pada saat wanita Muslim di Eropah menjadi sasaran diskriminasi atas kepercayaan agama mereka,” kata kementerian.

Kes itu dibawa ke mahkamah oleh dua wanita di Jerman yang digantung kerja setelah mereka mula memakai hijab.

Kedua-dua wanita itu – penjaga keperluan khas di pusat jagaan kanak-kanak di Hamburg yang dikendalikan oleh sebuah badan amal dan juruwang di rantai farmasi Mueller – tidak memakai tudung ketika mereka mula bekerja.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka memutuskan untuk melakukannya bertahun-tahun kemudian selepas bercuti.

Manakala satu lagi kes melibatkan Samira Achbitam, dipecat daripada jawatannya sebagai penyambut tetamu oleh syarikat keselamatan selepas bertegas untuk bertudung.

Achbita tewas dalam samannya di dua mahkamah di Belgium. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button