Berita UtamaDunia

Arab Saudi, Bahrain usir Duta Lubnan

Kesal kenyataan Menteri Penerangan mengenai perang di Yaman

RIYADH, 23 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Arab Saudi memberi tempoh 48 jam untuk Duta Lubnan meninggalkan negara itu serta mengharamkan semua import dari Lubnan.

Keputusan itu sebagai tindak balas terhadap komen kritikal yang dibuat oleh seorang menteri Lubnan mengenai campur tangan tentera yang diketuai Arab Saudi di Yaman.

Berikutan itu, Arab Saudi melarang rakyatnya pergi ke Lubnan serta memanggil pulang dutanya.

“Kerajaan kesal hasil hubungan dengan Republik Lubnan kerana pihak berkuasa negara itu mengabaikan fakta dan kegagalan mereka yang berterusan untuk mengambil langkah pembetulan,” demikian kenyataan yang disiarkan agensi berita SPA.

Beberapa jam selepas itu, kerajaan Bahrain mengarahkan Duta Lubnan meninggalkan negara tersebut dalam masa dua hari atas sebab yang sama, kata Kementerian Luar Bahrain.

Hubungan antara Lubnan dan Arab Saudi sememangnya tegang, namun bertambah buruk selepas rakaman tular dalam talian mengenai Menteri Penerangan, George Kordahi membuat kenyataan kritikal berhubung perang pimpinan Arab Saudi terhadap pemberontak Houthi di Yaman.

Kordahi berkata, temu bual yang disiarkan di televisyen itu telah dirakam lebih sebulan sebelum dilantik sebagai menteri.

Katanya, Houthi yang bersekutu dengan Iran ‘mempertahankan diri mereka… menentang pencerobohan luar’.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati berkata, beliau ‘kesal’ dengan langkah yang diambil Arab Saudi.

“Kami amat kesal dengan keputusan Arab Saudi, serta berharap ia akan dipertimbangkan semula. Kami akan terus berusaha untuk menyelesaikan apa yang perlu diselesaikan,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button