Berita Utama

COVID-19: Kenduri kesyukuran cetus kluster Kampung Pukak di Tuaran

Daripada saringan 55 kontak rapat, 16 dikesan positif

KOTA KINABALU, 10 Zulhijjah 1442H, Selasa – Majlis kenduri kesyukuran dipercayai menjadi pencetus satu kluster baharu COVID-19 di negeri ini iaitu Kluster Kampung Pukak di Tuaran yang melibatkan 17 kes kumulatif sehingga hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata majlis itu telah diadakan di kampung tersebut pada 3 Julai lepas, manakala kes indeks kluster itu, seorang lelaki berusia 47 tahun dikesan positif pada 9 Julai.

“Susulan kes itu, saringan 55 kontak rapat disaring dan 16 kes dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster ini sebanyak 17 kes termasuk sembilan kes baharu hari ini.

Saringan melibatkan kontak rapat dari Kampung Pukak, Kampung Pinagon dan Kuarters Loji Air Telibong 1,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata Sabah hari ini merekodkan 657 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di negeri ini sebanyak 76,453 kes.

“Pesakit sembuh dibenarkan keluar hospital pula seramai 285 orang, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 71,748 orang,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button