Berita UtamaDunia

Penceroboh haram rampas tanah Palestin bina jalan di Tebing Barat

Mereka dirikan pagar, dakwa tanah tidak mempunyai pemilik

TEBING BARAT, 10 Zulhijjah 1442H, Selasa – Penceroboh Israel dengan perlindungan tentera rejim menyerbu kawasan milik Palestin dengan penuh ganas, bagi merampas tanah untuk pembinaan jalan penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki.

Jalan pintas itu akan menuju ke penempatan haram Dotan.

Penceroboh dilaporkan meratakan dengan jentolak kawasan di Gunung Abu al-Shawareb berhampiran perkampungan Kafr Ra’i, barat daya Jenin, lapor Pusat Maklumat Palestin.  

Mereka mendirikan pagar, mendakwa tanah itu tidak mempunyai pemilik.

Bagaimanapun, penduduk tempatan dengan dokumen pemilikan terkejut dengan penyitaan itu, yang dilaksanakan di kawasan beberapa ribu meter persegi.

Dalam kejadian pelanggaran lain, sekumpulan penceroboh haram menyerbu kawasan Gunung Al-Alam, utara Ni’lin. 

Petani di daerah itu dipaksa keluar, sementara pokok-pokok dicabut, selain itu saluran pengairan juga rosak.

Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres baru-baru ini meminta Israel menghentikan pencerobohan ke atas kediaman Palestin dan penyitaan tanah mereka di wilayah yang diduduki.

Selama bertahun-tahun, Israel merobohkan rumah Palestin dengan menyatakan bahawa struktur tersebut telah dibina tanpa izin, yang hampir mustahil untuk diperoleh.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mengatakan, pihak berkuasa Israel sama ada merobohkan atau merampas harta tanah Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, satu trend yang menyebabkan pemindahan sejumlah besar penduduk Palestin dalam beberapa bulan terakhir.

Menurut OCHA, Israel telah merobohkan lebih daripada 420 struktur milik Palestin di Tebing Barat tahun ini.

Pada masa sama, Israel telah memperluas penempatannya, yang dikutuk oleh Majlis Keselamatan PBB dalam beberapa resolusi.

Laporan media Palestin juga mengatakan sebilangan besar penceroboh pada petang Ahad menyerbu jalan-jalan Palestin di Tebing Barat, menyerang penduduk tempatan.

Penduduk dari penempatan Ramat Yishai dan Beit Hadassah, yang dibina di pusat al-Khalil (Hebron), menyerang penduduk dengan batu.

Para penceroboh juga menyerbu kawasan Tira di Ramallah dari arah bandar Ein Qinya di bawah perlindungan ketenteraan Israel.  

Pasukan rejim pengganas memaksa rakyat Palestin supaya menutup perniagaan mereka untuk memberikan ‘keselamatan’ kepada upacara keagamaan Yahudi di kawasan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button