Berita Utama

Pertahankan institusi Islam unggul Tabung Haji jangan sampai ‘terkorban’

Ramai pakar kewangan, perbankan Islam gusar dengan langkah 'separuh masak' kerajaan

BANGI, 10 Zulhijjah 1442H, Selasa – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, sambutan Aidiladha tahun ini sekali lagi tidak dapat dilaksanakan dengan biasa kerana penularan wabak COVID-19.

Selain sambutan raya, beliau berkata, Aidiladha pada tahun ini juga berlainan sedikit kerana umat Islam sedang gusar dengan perkembangan dan nasib Lembaga Tabung Haji (TH).

TH dikatakan akan diletakkan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) yang bakal menyenaraikannya sebagai ‘prescribed Islamic financial institution’ di bawah seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Namun, beliau berkata, sehingga kini, cadangan kerajaan ini mendapat bantahan ramai pakar kewangan dan perbankan Islam selain tokoh-tokoh masyarakat Islam yang gusar dengan langkah dikira ‘separuh masak’ ini. 

“Mengapa ‘separuh masak’? Anda boleh rujuk ulasan panjang lebar saya mengenai perkara ini. 

“Sebagaimana tuntutan ‘menjaga nyawa’ sepertimana dalam prinsip maqasid syariah, ‘menjaga harta’ adalah sesuatu yang terkandung dalam prinsip tersebut. 

“Apatah lagi apabila ianya melibatkan harta jutaan umat Islam yang menyimpan untuk pergi haji dan agenda memperkasa ekonomi umat Islam. Maka, perkara ini tidak boleh dibuat main-main dan ‘separuh masak’.

“Selain itu, menjaga harta umat Islam dari ‘tangan-tangan jahat’ adalah sesuatu yang sangat perlu ditekankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, PEMBELA menyokong usaha penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh pihak kerajaan terhadap pengurusan dan operasi Tabung Haji. 

Tegasnya, ahli-ahli politik dan mereka yang berkepentingan perlu dibersihkan dari TH. 

“Kesimpulannya, jangan sampai kesilapan kita pada hari ini, menyebabkan anak cucu cicit kita rugi dan sebuah institusi Islam yang pernah unggul di persada dunia, akhirnya dikecil serta direndahkan skopnya menjadi seperti bank semata-mata. Sangatlah rugi. 

“Ayuh pertahankan Tabung Haji sebagai institusi Islam yang unggul. Selamat Hari Raya Korban, jangan sampai Tabung Haji terkorban!,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button