Berita Utama

Individu tanpa gejala potensi sebar virus tanpa sedar

Tak mustahil ramai yang positif tapi tidak disaring, dikenal pasti

BANGI, 11 Zulhijjah 1442H, Rabu – Meskipun statistik menunjukkan lebih 98 peratus kes harian COVID-19 berada pada kategori satu (tiada gejala) dan dua (gejala ringan), namun menjadi tanda tanya sama ada ia berita baik atau sebaliknya.

Tidak dinafikan, rakyat boleh menarik nafas lega kerana hanya kurang 2 peratus kes baharu harian COVID-19 menunjukkan simptom yang serius.

Tetapi apa yang membimbangkan, kes kematian baharu harian akibat COVID-19 pula masih tinggi, kata Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad.

“Tambahan pula, yang lebih menakutkan ialah boleh jadi ramai lagi orang yang bebas tanpa simptom di luar sana sebenarnya positif COVID-19 tapi tidak disaring dan dikenal pasti.

“Mereka berpotensi untuk menyebarkan virus yang amat merbahaya ini tanpa disedari ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kes COVID-19 di Malaysia mencatatkan peningkatan pada Selasa iaitu 12,366 kes berbanding 10,972 kes pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 939,899 kes.

Katanya, sebanyak 93 kes kematian dicatatkan yang melibatkan 91 warganegara dan dua bukan warganegara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button